Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasaran saham AS susut AS$4t ekoran kebimbangan kemelesetan ekonomi

Tindakan Presiden Trump perkenal tarif turut jejas sentimen pelabur
Mar 11, 2025 | 3:13 PM
Pelbagai dasar baru Encik Trump, termasuk langkah tarif yang berubah-ubah terhadap rakan dagang utama seperti Canada, Mexico, dan China, tingkatkan ketidaktentuan bagi perniagaan, pengguna, dan pelabur.
Pelbagai dasar baru Encik Trump, termasuk langkah tarif yang berubah-ubah terhadap rakan dagang utama seperti Canada, Mexico, dan China, tingkatkan ketidaktentuan bagi perniagaan, pengguna, dan pelabur. - Foto REUTERS

NEW YORK: Tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, dengan spekulasi tentang kemelesetan ekonomi yang mendorong penjualan saham besar-besaran.

Kebimbangan itu menyebabkan Indeks S&P 500, yang mengukur jumlah nilai pasaran semasa bagi saham 500 syarikat terbesar yang disenaraikan di bursa saham Amerika, susut sebanyak AS$4 trilion ($5.3 trilion) dari paras tertinggi pada Februari, ketika Wall Street masih menyokong agenda Encik Trump.

Pelbagai dasar baru Encik Trump, termasuk langkah tarif yang berubah-ubah terhadap rakan dagang utama seperti Canada, Mexico, dan China, telah meningkatkan ketidaktentuan bagi perniagaan, pengguna, dan pelabur.

“Kami nampak perubahan besar dalam sentimen pelabur,” kata Cik Ayako Yoshioka, pakar strategi pelaburan di Wealth Enhancement.

“Apa yang berkesan sebelum ini, kini tidak lagi berfungsi.”

Penjualan saham semakin meningkat pada 10 Mac, dengan S&P 500 mencatatkan penurunan harian terbesar – sekitar 2.7 peratus – bagi 2025.

Indeks Nasdaq pula mengalami penurunan terbesar dalam satu hari sejak September 2022.

Syarikat Apple dan Nvidia masing-masing merosot sekitar 5 peratus, manakala syarikat Tesla junam sebanyak 15 peratus.

S&P 500 pada 10 Mac ditutup dengan penurunan 8.6 peratus dari paras tertinggi yang direkodkan pada 19 Februari, hampir mencapai penurunan 10 peratus yang menandakan pembetulan bagi indeks tersebut.

Nasdaq, yang menyenaraikan lebih banyak saham teknologi, pula ditutup pada 6 Mac dengan penurunan lebih 10 peratus dari paras tertinggi Disember, tertekan oleh saham-saham teknologi besar yang masih menghadapi cabaran pada 2025.

Pada hujung minggu lalu, Encik Trump enggan meramalkan sama ada Amerika akan menghadapi kemelesetan, kerana pelabur bimbang tentang kesan dasar perdagangan beliau.

Selain ketidaktentuan tarif, pelabur memerhatikan sama ada ahli politik dapat meluluskan undang-undang pembiayaan untuk mengelakkan penutupan sebahagian pemerintah, sementara laporan inflasi yang penting akan keluar pada 12 Mac.

“Pentadbiran Trump nampaknya semakin menerima kenyataan tentang penurunan pasaran, malah mungkin juga dengan kemelesetan, demi mencapai matlamat jangka panjang mereka,” kata Encik Ross Mayfield, pakar strategi pelaburan di Baird.

“Saya rasa ini adalah satu amaran besar untuk Wall Street.”

Aset berisiko jatuh, dengan Bitcoin merosot 5 peratus.

Sebaliknya, sektor utiliti dan hutang pemerintah Amerika mendapat lebih permintaan.

S&P 500 turun hampir 3 peratus, menghapuskan semua keuntungan sejak kemenangan Encik Trump pada 5 November 2024.

Harapan terhadap pemotongan cukai dan deregulasi Encik Trump pudar akibat ketidaktentuan mengenai tarif dan pengurangan tenaga kerja pemerintah.

Pelabur sebelum ini yakin ekonomi akan berkembang di bawah Encik Trump, kata Encik Michael O’Rourke dari JonesTrading.

Namun, pegangan saham pelabur menurun dan kini berada pada tahap yang rendah buat pertama kali sejak Ogos, menurut Deutsche Bank pada 7 Mac.

Jika trend ini berterusan, S&P 500 boleh jatuh ke 5,300, turun 5.5 peratus lagi.

Tanda kebimbangan semakin jelas, dengan Volatility Index atau “indeks kebimbangan” mencapai tahap tertinggi sejak Ogos pada 10 Mac.

Pentadbiran Encik Trump masih mencari strategi untuk menang dari segi politik dan ekonomi, kata Encik Edward Al-Hussainy dari Columbia Threadneedle Investments.

“Sehingga itu berlaku, keadaan akan terus tidak menentu setiap minggu,” ujar beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg