Sempena sambutan SG60, para peserta Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 7 Disember akan disambut dengan pemandangan menakjubkan ketika mereka menamatkan larian di Padang – sebuah lokasi yang kaya dengan sejarah dan warisan Singapura.
“Daripada menjadi tuan rumah Perarakan Hari Kebangsaan pertama Singapura hingga menyambut persembahan muzik antarabangsa dan acara sukan besar seperti perlumbaan Formula Satu (F1), Padang telah menjadi tempat yang mengeratkan masyarakat kita semasa detik-detik penting dalam perjalanan negara,” kata Ketua Pembangunan Industri Sport Singapore, Encik Roy Teo.
“Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60, Padang menjadi latar belakang sempurna untuk acara sukan utama tersebut, di mana pelari antarabangsa dan tempatan – termasuk atlet Pasukan Singapura –berlumba mengejar masa terbaik peribadi mereka.”
Acara larian berprestij yang dinanti-nantikan – perlumbaan World Athletics Gold Label – bakal membuka tirainya di Bangunan Pit F1 Pit dan berakhir di Padang.
Laluan yang bukan sahaja cantik malah penuh dengan sejarah negara itu menjanjikan pengalaman yang luar biasa, dengan peserta berpeluang berlari melalui bangunan bersejarah seperti City Hall dan Mahkamah Agung dahulu, yang kini menjadi Galeri Nasional Singapura.
Lokasi penamat di Padang juga sangat strategik, memudahkan keluarga dan rakan-rakan hadir memberi sokongan sepanjang acara.
Sebagai tanda meraikan SG60, Standard Chartered Singapore memperkenalkan promosi SG60 Ekiden.
60 pasukan pertama yang mendaftar pada Hari Kebangsaan akan menerima diskaun sebanyak $60.
Promosi SG60 juga akan melibatkan kategori larian lain, dengan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Pengarah Urusan Asia bagi The IRONMAN Group, penganjur SCSM, Jeff Edwards, menjelaskan acara tahun ini akan menggunakan format dua hari yang baru untuk memenuhi minat yang semakin meningkat dalam larian jarak jauh.
Separuh Maraton dan Maraton akan diadakan pada hari yang berbeza, dengan peningkatan penyertaan sebanyak 46 peratus dan 31 peratus bagi setiap kategori dalam tempoh tiga tahun lepas.
Perubahan itu bertujuan memperbaiki pengalaman hari perlumbaan bagi semua peserta dan penonton.
Pendaftaran untuk maraton telah dibuka pada 16 April.
Bayaran penyertaan bagi kategori Maraton, Separuh Maraton, 10km, 5km, larian Ekiden (pasukan empat pelari), dan Kids Dash masing-masing ialah $169, $148, $120, $88, $545 (setiap pasukan), dan $44.
Pemegang kad Standard Chartered layak menikmati potongan 15 peratus daripada bayaran pendaftaran.
Untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://singaporemarathon.com/.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg