HONG KONG: Standard Chartered mengumumkan rancangan mahu membuang lebih 15 peratus kakitangan sokongannya menjelang 2030, atau kira-kira 7,800 jawatan, melalui peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkemas operasi.

Bank yang berpusat di Asia itu menggajikan sekitar 52,000 orang dalam peranan sedemikian pada akhir 2025, dengan operasi merentasi Singapura, Hong Kong, China, India dan Poland.

“Ini bukan pemotongan kos, ini adalah menggantikan, dalam sebahagian kes, modal insan bernilai rendah, dengan modal kewangan dan modal pelaburan yang sedang kami laburkan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Encik Bill Winters, dalam satu taklimat di Hong Kong pada 19 Mei.

Beliau juga menambah bahawa kakitangan yang terjejas akan menerima “notis yang baik dan jelas” terlebih dahulu.

“Kami tidak kehilangan pekerjaan, tetapi kami mengurangkan peranan pekerjaan yang digantikan oleh mesin, dan ini akan semakin pesat apabila kami melangkah lebih jauh ke dalam AI,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), jurucakap Standard Chartered berkata bank itu kekal komited untuk menyokong pertumbuhan perniagaan di Singapura dan Asean.

“Kami akan terus mengambil lebih ramai pengurus hubungan, mempercepatkan inovasi produk, meningkatkan pengalaman digital dan pelanggan kami, serta menaik taraf dan melancarkan pusat pelanggan baru.”

Jurucakap itu enggan mendedahkan sama ada pemotongan jawatan akan menjejas kakitangan di Singapura.

Dengan langkah itu, Standard Chartered menyertai sebilangan bank global yang menggunakan AI untuk mengurangkan bilangan pekerja.

HSBC Holdings sedang menimbangkan pemotongan jawatan secara besar-besaran dalam beberapa tahun akan datang, manakala firma-firma Wall Street turut membuat peralihan yang sama. 

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Goldman Sachs Group, Encik John Waldron, baru-baru ini pula mengakui bahawa cara kerja tradisional syarikatnya masih terlalu bergantung kepada manusia dan sudah tiba masanya untuk diautomasikan. 

Saham Standard Chartered naik sebanyak 2.4 peratus dalam dagangan pagi di Hong Kong.

Pemotongan jawatan itu dijangka mendorong peningkatan produktiviti bagi menaikkan pendapatan setiap pekerja sebanyak kira-kira 20 peratus menjelang 2028, menurut bank itu.

Peranan fungsi korporat adalah peranan sokongan dan merangkumi jawatan seperti pengurusan risiko dan pematuhan peraturan, menurut laman webnya.

Dengan langkah terbaru itu, Standard Chartered berusaha membina pemulihan dalam tempoh jangka panjang, dalam usaha mencapai pertumbuhan lebih kukuh, walaupun ketidaktentuan geopolitik menghantui prospek bagi sebahagian pasaran utamanya.

Bank itu menyokong sasaran kewangan baru dengan mengekalkan tumpuan kepada perniagaan bermargin tinggi, termasuk pelanggan runcit berpendapatan tinggi dan institusi kewangan dalam bahagian perbankan korporat dan pelaburannya.