Sunset Hospitality Group, yang berpangkalan di Dubai, melalui unit hotel dan resortnya, mengambil alih pajakan Hotel Fort Canning Singapore sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya.
Kumpulan itu dikatakan memajak ruang daripada Legends Fort Canning, sebuah entiti yang dikaitkan dengan Eng Wah Global, antara pemegang saham lain.
Eng Wah Global mempunyai perniagaan dalam sektor hiburan, hartanah, hospitaliti dan gaya hidup di Singapura dan Malaysia.
Portfolio jenamanya termasuk WE Cinemas, 321 Clementi dan The Legends Golf and Country Resort.
Urus niaga Hotel Fort Canning itu, termasuk unit restoran makanan dan minuman, diurus oleh firma perkhidmatan hartanah JLL, lapor The Business Times.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, hotel itu akan dijenamakan semula sebagai Mett Singapore menjelang suku ketiga 2025, kata Sunset Hospitality dalam satu kenyataan pada 16 Oktober.
Terletak di bangunan tentera yang dibaik pulih di kawasan Taman Fort Canning, hotel itu akan “menjalani perubahan penuh” di bawah jenama Mett Hotels & Resorts, kata kumpulan itu.
Dengan memanfaatkan kepakaran makanan dan hiburan Sunset Hospitality, hotel yang dijenamakan semula itu akan menyediakan tetamu dengan beberapa pilihan tempat, daripada restoran hingga hiburan malam.
Encik Antonio Gonzalez, pengerusi dan ketua eksekutif kumpulan Sunset Hospitality, berkata kumpulan itu melihat “potensi besar” di Singapura dan Asia Selatan.
Perjanjian terbaru itu dibuat kira-kira dua bulan selepas Sunset Hospitality memperoleh Maximal Concepts, sebuah kumpulan makanan dan minuman (F&B) global yang beribu pejabat di Hong Kong.
Beberapa jenama di bawahnya termasuk restoran Cina Mott 32 dan restoran izakaya Jepun, The Aubrey.
Ia juga susulan pembukaan Sushisamba Singapore di Capital Tower di Robinson Road.
Restoran ini dikendalikan oleh Sunset Hospitality dan menyajikan masakan gabungan Jepun, Brazil dan Peru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg