Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat cip Jepun, Tekscend bina kilang baru di S’pura

Pembekal komponen ‘photomask’ dijangka beroperasi akhir 2026 atau awal 2027; wujudkan 60 pekerjaan
Oct 31, 2025 | 5:46 PM
Dengan kilang baru di Singapura, Tekscend akan mengendalikan lapan kemudahan pembuatan di seluruh dunia.
Dengan kilang baru di Singapura, Tekscend akan mengendalikan lapan kemudahan pembuatan di seluruh dunia. - Foto BT

Tekscend Photomask telah memulakan pembinaan kemudahan pengilangan baru di Singapura pada 31 Oktober, sebagai sebahagian usaha pembekal ‘photomask’ semikonduktor dari Jepun itu untuk mengembangkan operasi serantau bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Kemudahan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2026 atau awal 2027, dan akan menumpukan perhatian kepada nod teknologi matang sehingga 22 nanometer (nm). Ia akan mewujudkan 60 peluang pekerjaan bagi gabungan pekerja tempatan dan asing.

Ketua Eksekutif, Encik Teruo Ninomiya, berkata kemudahan itu akan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di Singapura, Malaysia dan India, lapor The Business Times (BT).

Beliau menyatakan di Singapura, pemprosesan semikonduktor dijangka terus kukuh, dan sektor tersebut “akan terus memainkan peranan penting sebagai teknologi strategik yang mempertingkatkan kehidupan seharian kita.”

Tekscend ialah peneraju global dalam bidang ‘photomask’, iaitu komponen berketepatan tinggi yang berfungsi sebagai templat untuk memindahkan corak litar ke atas wafer silikon semasa proses pembuatan cip.

Tiga eksekutif syarikat tersebut, Encik Jun Kotani, Encik Takashi Tomita dan Encik Satoshi Sugiyama, berkata syarikat itu telah membeli sebuah kilang sedia ada di Tampines bagi menjimatkan masa pembinaan.

Kemudahan tersebut diperoleh melalui gabungan hasil kewangan termasuk daripada tawaran awam awal (IPO) syarikat itu pada Oktober. Tekscend tidak mendedahkan jumlah pelaburan tersebut.

Para eksekutif itu berkata sebahagian daripada motivasi untuk menubuhkan kemudahan di Singapura adalah kerana pelanggan mereka semakin mengembangkan kehadiran di negara ini, menjadikan pengeluaran tempatan lebih strategik.

IPO terkini Tekscend di Bursa Saham Tokyo pada harga AS$20 ($26) sesaham merupakan penyenaraian kedua terbesar di Jepun bagi 2025, yang berjaya mengumpul AS$1.04 bilion. Syarikat pengilang Jepun, Toppan, kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat itu.

Dengan kilang baru di Singapura itu, Tekscend kini akan mengendalikan lapan kemudahan pembuatan di seluruh dunia, termasuk di Jepun, Taiwan dan Jerman.

Pada majlis pecah tanah tersebut, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata kilang baru itu menandakan “perkembangan penting” bagi industri semikonduktor Singapura.

“Ketepatan dan kebolehpercayaan ‘photomask’ kini menjadi lebih kritikal berbanding sebelum ini, kerana kecerdasan buatan (AI) dan elektrifikasi sedang mendorong permintaan bagi cip yang lebih berkuasa dan cekap tenaga dalam peranti yang digunakan seharian.”

Kemudahan Tekscend juga akan mengukuhkan ekosistem semikonduktor Singapura dengan memastikan bahagian penting dalam rantaian bekalan ini ditempatkan di dalam negara.

“Kita semua tahu risiko gangguan rantaian bekalan kini lebih tinggi, dan kemudahan ini akan memastikan kesinambungan perniagaan dengan membolehkan pengilang faundri besi di Singapura mendapatkan ‘photomask’ secara tempatan, mengurangkan kebergantungan pada import luar negara. Ini akan menguatkan daya tahan rantaian bekalan,” kata Encik Tan.

Presiden Tekscend, Encik Jason Chou, berkata kemudahan tersebut adalah “lebih daripada sekadar pangkalan pengeluaran.”

“Ia melambangkan komitmen syarikat kami untuk berkembang bersama masyarakat tempatan dan membina masa depan yang mampan bersama,” katanya.

“Kami akan aktif mengambil dan melatih bakat tempatan untuk pekerjaan, bekerjasama dengan institusi pendidikan dan perniagaan bagi menyokong pembangunan industri,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg