HONG KONG: Syarikat penerbangan utama di Asia melaporkan lonjakan permintaan bagi laluan ke Eropah apabila para pengunjung mengelak hab di Timur Tengah yang mengalami gangguan. 

Penganalisis menjangkakan peralihan ini mungkin berterusan buat sementara waktu, meskipun setelah konflik Iran berakhir.

Pada minggu lalu, Cathay Pacific Airways (Hong Kong), Singapore Airlines, Korean Air Lines dan Qantas Airways (Australia) mendedahkan prestasi kukuh bagi laluan Eropah pada Mac, meskipun berdepan kenaikan harga bahan api jet sebanyak seganda.

“Kami telah... menambah jumlah penerbangan dan keupayaan ke Eropah pada Mac dan April bagi memenuhi peningkatan permintaan pasaran, memandangkan penumpang kini mengutamakan laluan gantian,” kata Ketua Pegawai Pelanggan dan Komersial Cathay, Cik Lavinia Lau, pada 17 April.

Beliau menambah permintaan tinggi dijangka berterusan sehingga April, didorong percutian Easter (Hari Paskah) dan peningkatan tempahan jarak jauh yang membuat persinggahan melalui Hong Kong.

Singapore Airlines pula berkata peratusan pengisian tempat duduk bagi penerbangan ke Eropah melonjak kepada 93.5 peratus pada Mac 2026, berbanding 79.7 peratus pada Mac 2025. 

Peningkatan paling ketara bagi mana-mana negara di rantau ini, sebahagiannya disebabkan limpahan trafik ke Eropah susulan pengurangan keupayaan di hab penerbangan Timur Tengah. 

Menurut firma data penerbangan Cirium, sebelum konflik di Timur Tengah tercetus, syarikat penerbangan Emirates, Qatar Airways, dan Etihad Airways, secara keseluruhan menguasai sekitar satu pertiga daripada trafik penumpang antara Eropah dengan Asia.

Ketiga-tiga syarikat ini juga mengangkut lebih separuh daripada keseluruhan penumpang yang terbang dari Eropah ke Australia, New Zealand, dan Kepulauan Pasifik.

Syarikat penerbangan utama Teluk tersebut sedang memulihkan keupayaan mereka secara berperingkat, dengan kesemuanya telah mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus daripada jumlah penerbangan sebelum konflik, menurut data daripada Flightradar24.

Namun, mereka berdepan cabaran lain, seperti panduan daripada kerajaan Australia yang memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Teluk, malah tidak digalakkan menukar pesawat di sana. 

Ini bermakna perjalanan mereka tidak akan dilindungi insurans perjalanan.

Kesannya, pelanggan terpaksa membayar premium untuk penerbangan yang mengelak rantau Teluk, menurut data daripada Google Travel.

Bagi tiket ulang-alik kelas ekonomi dari Sydney ke London untuk keberangkatan pada 25 April, Etihad menawarkan harga termurah pada A$1,861 ($1,692), melalui Abu Dhabi. 

Sebagai gantian untuk mengelakkan Timur Tengah, pilihan satu hentian termurah ialah United Airlines pada harga A$3,144 melalui San Francisco, dan Thai Airways pada harga A$3,901 melalui Bangkok.

Penganalisis Bank of America, dalam laporan baru-baru ini, berkata “penentuan harga tinggi serta tambahan penguasaan pasaran bagi laluan Asia-Eropah boleh berterusan selama enam hingga 12 bulan walaupun selepas perang berakhir, mengambil kira faktor tempahan awal yang tertunda serta sikap penumpang yang mengelak risiko”.

Qantas berkata mereka telah menyesuaikan operasi bagi memanfaatkan peralihan tersebut, dengan mengalihkan keupayaan daripada laluan Amerika Syarikat dan domestik untuk memperluaskan penerbangan ke Paris dan Rom.

“Qantas terus melihat permintaan kukuh bagi perjalanan antarabangsa ke Eropah memandangkan pelanggan kini mencari laluan gantian,” kata syarikat penerbangan itu.

Pengurus kawalan trafik udara, Airservices Australia, memaklumkan trafik antara Australia dengan Timur Tengah menurun sebanyak 77 peratus pada Mac, berbanding tempoh sama pada 2025, menyusuli khidmat penerbangan yang dilencongkan melalui bandar lain.

“Destinasi percutian Asia seperti Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong, Tokyo, dan Seoul kini menerima sebahagian besar daripada limpahan permintaan ini dan berkemungkinan muncul sebagai hab gantian serta destinasi pelancongan pilihan,” kata Airservices. – Reuters.