Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonflik Timur Tengah mula jejas sektor penerbangan, pelancongan M’sia
Konflik Timur Tengah mula jejas sektor penerbangan, pelancongan M’sia
Begitupun menteri beri jaminan negara tidak alami gangguan bekalan makanan asas dalam jangka terdekat
Konflik Timur Tengah mula jejas sektor penerbangan, pelancongan M’sia
Walaupun bekalan makanan asas di Malaysia kekal stabil meski berdepan tekanan kos pengeluaran yang boleh memberi kesan kepada kestabilan harga, kesan ekonomi lebih meluas kini mula dirasai dalam sektor lain menyusuli krisis tenaga sejagat akibat konflik Timur Tengah yang belum berakhir.
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sektor penerbangan dan pelancongan sudah menunjukkan tanda-tanda terjejas, selain sektor pasaran buruh yang berisiko terkesan sekiranya konflik berterusan.
Beliau berkata sebanyak 55 penerbangan mingguan melibatkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan antara 23 hingga 28 Mac, manakala ketibaan pelancong turut menunjukkan penurunan.
“Ketibaan pelancong bagi 1 hingga 25 Mac lalu menunjukkan penurunan dengan unjuran penyusutan penumpang penerbangan dari Timur Tengah sebanyak 1.5 juta orang bagi 2026.
“Bagaimanapun, daripada data yang dikemaskini, pergerakan pengangkutan laut dan darat relatifnya masih stabil, khususnya bagi pengendalian kargo dan pergerakan penumpang pengangkutan awam.
“Dalam pasaran buruh pula, kesan yang lebih nyata dijangka bermula pada suku kedua 2026 iaitu bermula Jun sekiranya konflik berlarutan,” katanya pada satu taklimat krisis tenaga sejagat pada 14 April.
Encik Akmal bagaimanapun berkata setakat ini jumlah kehilangan pekerja keseluruhan menurun dari Januari hingga minggu pertama April 2026.
“Ini menunjukkan bahawa krisis ini mempunyai kesan tertunda. Hari ini kita nampak tekanan kos, beberapa minggu atau bulan kemudian baru kita nampak tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan,” katanya lagi.
Encik Akmal juga berkata bekalan makanan asas dalam negara masih stabil, namun kerajaan realistik dengan tekanan kos pengeluaran yang boleh melonjakkan harga bekalan makanan dalam jangka panjang.
“Terdapat lebihan stok bagi beberapa kategori utama termasuk beras, ayam, telur, sayuran, ikan, susu dan buah. Pada masa sama harga makanan terpilih masih menunjukkan kestabilan relatif hasil pemantauan dan langkah kawalan.
“Maka kerajaan beri jaminan negara tidak mengalami gangguan bekalan makanan asas dalam jangka terdekat.
“Tetapi hakikatnya kerajaan mesti jujur bahawa tekanan sedang meningkat pada peringkat kos pengeluaran. Komponen utama seperti diesel, baja dan makanan ternakan merangkumi sekitar 40 peratus input pengeluaran pertanian.
“Kerajaan mengunjurkan kenaikan makanan ternakan sekitar 8 peratus dan baja sekitar 15 hingga 20 peratus, dengan 63 peratus keperluan baja diimport.
“Ini memberi isyarat bahawa tekanan kos boleh diterjemahkan kepada harga pengguna jika tidak dikawal lebih awal,” jelasnya.
Tambah Encik Akmal, kerajaan Malaysia melaksanakan dan merangka pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kesan krisis tenaga akibat konflik Timur Tengah kepada rakyat, termasuk antaranya mempercepatkan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baru.
Oleh itu, beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara dasarnya telah bersetuju menyegerakan peralihan kepada biodiesel, yang merupakan salah satu sumber pilihan bahan api alternatif paling praktikal dan paling sedia untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Langkah segera peralihan kepada tenaga boleh baru boleh menjamin sumber tenaga domestik yang mana dalam konteks ini kerajaan bukan saja stabilkan bekalan dan harga, tetapi juga membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” katanya.
