Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat dalam perbincangan beli kedai minyak Esso di S’pura

Jul 11, 2025 | 3:57 PM
exxon, beli, Esso
Exxon dilaporkan sedang bekerjasama dengan firma penasihat untuk menjual 59 kedai minyak miliknya di Singapura di bawah jenama Esso, dalam pelupusan aset yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1 bilion ($1.28 bilion). - Foto fail

Sebuah syarikat usaha sama antara Chandra Asri Group Indonesia dan pedagang komoditi global Glencore, Aster Chemicals and Energy, sedang mengadakan rundingan eksklusif untuk membeli rangkaian kedai minyak Exxon Mobil Corp di Singapura, menurut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.

Syarikat itu dilaporkan muncul sebagai pembida paling berpotensi selepas mengatasi pesaing global lain, dan kini sedang memperincikan butiran perjanjian termasuk harga dan struktur urus niaga, kata sumber yang enggan namanya didedahkan kerana sifat sulit rundingan itu.

Rundingan masih berjalan dan Exxon tetap boleh mengekalkan aset itu, tambah mereka.

Exxon dilaporkan sedang bekerjasama dengan firma penasihat untuk menjual 59 kedai minyak miliknya di Singapura, dalam pelupusan aset yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1 bilion ($1.28 bilion), lapor media pada 2024.

Penjualan itu akan membolehkan Exxon menyalurkan lebih banyak modal ke sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih tinggi, jelas sumber yang mengetahui perkara tersebut, lapor agensi berita.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, seorang wakil Exxon dalam satu kenyataan berkata bahawa syarikat itu tidak mengulas mengenai khabar angin dan spekulasi pasaran, selaras dengan amalan syarikat.

Aster pula belum memberi respons terhadap permintaan untuk memberi ulasan.

Syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat itu telah beroperasi di Singapura selama lebih 130 tahun, mengedar bahan api di bawah jenama Esso, menurut laman webnya. 

Operasi Exxon di Singapura turut merangkumi sebuah loji penapisan, kilang bahan kimia dan pelincir, terminal bahan api serta loji pembotolan gas petroleum cecair (LPG).

ExxonMobil Asia Pacific mempunyai lebih AS$25 bilion pelaburan dalam aset tetap di Singapura.

Usaha sama Chandra Asri-Glencore pula aktif dalam pengambilalihan perniagaan, termasuk pembelian aset penapisan dan bahan kimia Shell di Singapura pada April. 

Pada Jun, ia turut membeli Chevron Phillips Singapore Chemicals, yang memiliki dan mengendalikan kemudahan pengeluaran polietilena (sejenis plastik kegunaan harian) di Pulau Jurong, Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg