Syarikat minyak utama Amerika Syarikat, Chevron, telah membuka tawaran tidak terikat untuk penjualan pegangan 50 peratus miliknya dalam Singapore Refining Company (SRC), termasuk daripada rakan usaha samanya, PetroChina, menurut sumber Reuters.
Chevron juga sedang menilai minat pasaran terhadap penjualan aset lain di Asia, termasuk kemudahan terminal dan simpanan bahan api di Australia dan Filipina, menurut salah seorang sumber dan satu lagi sumber berasingan.
Langkah kemungkinan penjualan itu dibuat menyusuli proses penyusunan semula Chevron di peringkat sedunia bagi menyelaraskan operasi dan mengurangkan kos.
Penyusunan semula itu dijangka boleh membawa kepada pemberhentian sehingga 20 peratus tenaga kerjanya menjelang akhir 2026.
Chevron telah melantik bank pelaburan, Morgan Stanley, untuk meninjau potensi penjualan loji penapisan SRC di Singapura serta aset-aset lain di Asia, menurut salah satu sumber.
Morgan Stanley enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
PetroChina, yang memiliki baki 50 peratus pegangan dalam SRC melalui unit Singapore Petroleum Co Ltd, mempunyai hak keutamaan (right of first refusal – ‘ROFR’) untuk membeli pegangan Chevron, menurut tiga sumber.
“Chevron tidak mengulas hal-hal komersial selaras dengan dasar syarikat yang telah lama diamalkan,” kata jurucakap Chevron.
PetroChina pula tidak memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu.
Syarikat lain yang turut dijemput untuk menilai pegangan dalam loji penapisan itu termasuk syarikat perdagangan sejagat, Glencore, menurut tiga sumber.
Jurucakap syarikat Glencore berkata mereka tidak mengulas mengenai khabar angin atau spekulasi pasaran.
Menurut tiga sumber berkenaan, pembeli diminta mengemukakan tawaran tidak terikat pada Julai.
Nilai pegangan Chevron dalam perniagaan penapisan di Singapura dianggarkan bernilai ratusan juta dolar, kata salah seorang sumber.
Dua pakar industri yang tidak terlibat dalam proses itu memberi anggaran nilai bagi 50 peratus bahagian loji penapisan tersebut antara AS$300 juta ($385 juta) dengan AS$500 juta.
Loji penapisan SRC itu mempunyai kapasiti pemprosesan minyak mentah sekitar 290,000 tong sehari, menjadikannya loji penapisan terkecil di Singapura.
Ia dilengkapi dengan tujuh tempat letak kapal, yang kesemuanya mampu menampung kapal tangki minyak mentah bersaiz sangat besar, menurut laman web SRC.
Pada Mei, Chevron menjual pegangannya dalam Chevron Phillips Singapore Chemicals kepada Aster Chemicals and Energy – sebuah usaha sama antara Glencore dengan pengeluar bahan kimia Indonesia, Chandra Asri.
Jika perjanjian penjualan loji penapisan ini berlaku, ia akan menjadi pengunduran kedua oleh syarikat minyak besar dunia dari sektor penapisan di Singapura.
Sektor itu kini menghadapi tekanan akibat cukai karbon yang telah meningkatkan kos operasi.
Pada April, Shell telah menyelesaikan proses penjualan kemudahannya di Pulau Bukom dan Pulau Jurong, kepada usaha sama Chandra Asri-Glencore, menandakan pengakhiran operasi mereka sejak 1961. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg