Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, memulakan lawatan ke India pada 12 Ogos bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan perniagaan dua hala.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyaksikan beberapa syarikat Singapura menandatangani perjanjian yang memberi komitmen pelaburan bernilai lebih 200 bilion rupee ($2.93 bilion) di negeri Maharashtra.
Di samping itu, Encik Gan turut melawat operasi pelabuhan PSA di Terminal Kontena Bharat Mumbai, dan merasmikan sebuah pusat data pertama syarikat CapitaLand Investment (CLI) di Navi Mumbai – yang disebut sebagai dua pelaburan paling penting oleh syarikat Singapura di Maharashtra.
“Pelaburan ini menekankan kerjasama ekonomi dua hala yang semakin meningkat antara Singapura dengan India, serta keyakinan Singapura terhadap hala tuju ekonomi jangka panjang India,” kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 12 Ogos.
Encik Gan berada di Mumbai menjelang rundingan Meja Bundar Menteri India-Singapura ketiga yang akan diadakan di New Delhi, selama dua hari mulai 13 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Lawatan beliau juga mendahului kunjungan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke ekonomi keempat terbesar dunia itu pada awal September, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan India.
Terdapat rancangan mempertingkat hubungan tersebut kepada satu Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) berikutan lawatan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ke Singapura pada 2024.
India dijangka mengikut jejak Australia, Vietnam, dan Perancis dalam menjalin tahap hubungan serupa dengan Singapura.
Kedua-dua negara Asia tersebut turut giat menjalin kerjasama ekonomi dan keselamatan dengan negara lain.
ia berlaku di tengah-tengah dunia yang semakin berpecah-belah – dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengubah komitmen Amerika yang sudah lama wujud terhadap peraturan pasca Perang Dingin, selain mengenakan tarif perdagangan terhadap sekutu terdekatnya.
Perasmian pusat data baru CLI di Navi Mumbai diadakan sedang syarikat pengurusan aset sejagat itu meluaskan operasi pusat datanya di bandar utama India.
Mumbai adalah ibu kota kewangan India dan ibu kota Maharashtra.
Sektor pusat data adalah bidang kerjasama yang semakin berkembang antara Singapura dengan India, yang berhasrat menjadi hab sejagat bagi perniagaan ini.
Pertumbuhan pusat data di India dirangsang oleh bilangan pengguna Internet yang besar, ruang tanah luas yang tersedia serta penggunaan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
Semasa perasmian pusat data tersebut, Encik Gan dan Ketua Menteri Maharashtra, Encik Devendra Fadnavis, turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi CLI melabur lebih 192 bilion rupee di Mumbai dan Pune.
Menurut CLI, pelaburan yang dirancang di Maharashtra merangkumi taman perniagaan, pusat data, logistik, dan taman perusahaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg