Permintaan pelanggan dari negara asing yang sanggup datang ke Singapura untuk menjamu selera sajian ASAP & Co mendorong pengasas restoran di Telok Ayer Street itu untuk mempertimbangkan idea menebarkan sayap niaga ke luar negara.
Namun, dengan hanya berbekalkan pengalaman berkecimpung dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) selama lima tahun, Encik Isrudy Shaik, 47 tahun, dan isterinya, Cik Mariam Moni, juga 47 tahun, yang juga pengurus pembangunan perniagaan ASAP & Co, menemui jalan buntu.
“Ada pelanggan dari Dubai dan London yang memberi maklum balas dan berkongsi mereka inginkan rumah makan stik halal seperti yang kami usahakan di negara mereka.
“Mendengar kata-kata itu, kami pun mula serius dalam rancangan memperluas restoran ini ke rantau lain tetapi oleh kerana pengalaman kerja saya lebih kepada bidang seni, saya kurang mahir dan tidak tahu bagaimana untuk mulakan perjalanan ini,” kongsi Encik Isrudy ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 30 Julai.
Mujurlah pasangan suami isteri itu berjaya mendapatkan bimbingan daripada penasihat perniagaan kanan, Cik Nur Nadhirah Nor Azhar, yang berkhidmat dengan Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (Pusat SME@DPPMS).
Antara lain, Cik Nur Nadhirah memperkenalkan panduan membawa jenama ASAP & Co ke peringkat antarabangsa, dengan membantu menilai kesediaan dan kekurangan mereka, serta cara mengukuh asas mereka di dalam negara terlebih dahulu, sebelum mengenal pasti pasaran luar negara yang sesuai.
Sejauh ini, ASAP & Co telah memanfaatkan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) dan Geran Kecekapan Tenaga (EEG) dan sedang dalam proses mendapatkan Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) dan Geran Pembangunan Perusahaan (EDG).
Kata Cik Nur Nadhirah:
“Di Pusat SME, kami memerlukan usaha dua hala. Kami boleh membantu perniagaan, tetapi kami juga memerlukan pemilik perniagaan memainkan peranan mereka dan bersikap telus agar kami boleh membantu mereka sebaiknya untuk berkembang.
“Pertemuan pertama adalah untuk menilai syarikat itu terlebih dahulu, seperti peringkat kitaran hayat perniagaan mereka setakat ini. Kemudian kami dapat menentukan langkah seterusnya, sama ada dari segi geran atau mencari rakan kongsi sesuai supaya mereka boleh menembusi pasaran tertentu.”
Pusat SME yang dikendalikan oleh lima persatuan perdagangan dan dewan perniagaan termasuk DPPMS, dengan kerjasama Enterprise Singapore (EnterpriseSG), akan menawarkan khidmat nasihat lebih menyeluruh dan diperibadikan, serta akses lancar kepada sumber pakar untuk isu perniagaan yang rumit.
Ini diumumkan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada 30 Julai di Persidangan Pusat SME ke-12 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Cik Mariam dan Encik Isrudy telah bertemu dengan penasihat perniagaan mereka sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan sejak 2024.
Menerusi pertemuan itu, mereka mengenal pasti tiga pasaran berpotensi, iaitu Malaysia (Kuala Lumpur), Amiriah Arab Bersatu (Dubai) dan Arab Saudi (Riyadh).
Ini memandangkan terdapat budaya makanan yang rancak, asas pelanggan yang berkemampuan serta permintaan kukuh untuk masakan halal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg