Lebih banyak perumahan privet akan disediakan pada separuh pertama 2025, termasuk dua kawasan perumahan baru di Bukit Timah Turf City dan bekas Padang Golf Keppel.
Sebanyak 8,505 unit akan disediakan – peningkatan daripada 8,140 unit pada separuh kedua 2024.
Senarai bekalan yang disahkan untuk separuh pertama 2025 akan meningkatkan jumlah bekalan perumahan privet, termasuk Kondominium Eksekutif (EC), kepada kira-kira 57,200 unit.
Ini dijangka dapat memenuhi keperluan perumahan penduduk dalam beberapa tahun akan datang, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 6 Disember, lapor The Straits Times.
Terdapat 10 tapak senarai yang disahkan dan sembilan tapak senarai rizab.
Tapak senarai yang disahkan akan menghasilkan sekitar 5,030 unit kediaman privet, termasuk 980 unit EC dan 43,000 meter persegi Keluasan Lantai Kasar (GFA) untuk kegunaan komersial.
Senarai rizab, yang membenarkan pemaju memulakan pembangunan berdasarkan permintaan pasaran, akan menyumbang kepada 3,475 unit kediaman tambahan, 199,900 meter persegi GFA komersial dan 530 bilik hotel.
Empat tapak kediaman privet, satu tapak komersial, tiga tapak putih dan satu tapak hotel disertakan dalam senarai rizab.
Tapak putih bermaksud plot yang mana pelbagai kegunaan dibenarkan, tertakluk kepada ketetapan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) merangkumi campuran pembangunan kediaman, komersial dan hotel yang bertujuan untuk memenuhi permintaan perumahan dan mengekalkan kestabilan pasaran.
Bekalan perumahan privet terus meningkat, daripada 16,100 unit pada akhir 2021 kepada kira-kira 21,000 unit pada November 2024.
Peningkatan melalui program GLS itu membantu menstabilkan pasaran dan mengawal harga hartanah, kata MND.
Pada separuh pertama 2025, tapak perumahan privet pertama di bekas Padang Golf Keppel dan Bukit Timah Turf City akan dijual.
Tapak bekas Padang Golf Keppel yang seluas 48 hektar akan menghasilkan sekitar 9,000 rumah baru, termasuk kira-kira 6,000 unit perumahan awam.
Terletak berhampiran pusat bandar, tapak itu akan menyumbang kepada transformasi Greater Southern Waterfront menjadi kawasan pelbagai guna yang dinamik.
Tapak perumahan privet pertama di Telok Blangah Road, yang akan menghasilkan sekitar 740 unit, akan dilancarkan untuk dijual pada separuh pertama 2025.
Sementara itu, Turf City di Bukit Timah dirancang untuk pembangunan jangka panjang, dengan rancangan untuk 15,000 hingga 20,000 rumah awam dan privet dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Kawasan itu akan dibangunkan sebagai kawasan mesra pejalan kaki, dengan penyepaduan bangunan warisan dan ruang hijau untuk mencipta persekitaran hidup yang unik.
Tapak kediaman privet pertama di Dunearn Road, yang akan menghasilkan kira-kira 370 unit, akan memulakan pembaharuan jangka panjang Bukit Timah Turf City dan kawasan sekitarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg