Penerbit berita teknologi serantau, Tech in Asia (TIA), akan menamatkan penerbitan versi bahasa Indonesianya, menurut pengumuman yang dibuat pada 1 Julai.
Penutupan laman web itu akan berkuat kuasa pada 15 Julai, sejajar dengan usaha TIA untuk menyusun semula operasinya.
Salah seorang pengasasnya, Encik Willis Wee, menegaskan bahawa TIA tidak keluar daripada pasaran Indonesia.
“Kami masih komited untuk membuat liputan serta menyokong (ekosistem teknologi Indonesia yang rancak), dan akan mengekalkan operasi serta kakitangan kami di Indonesia bagi tujuan tersebut, termasuk menganjurkan acara tahunan kami,” jelas Encik Wee.
Langkah penamatan penerbitan versi bahasa Indonesia itu dilakukan bagi membolehkan syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi antarabangsa, TIA International.
“Selepas pertimbangan rapi, kami mendapati sebahagian inisiatif kami sama ada tidak sejajar dengan matlamat strategik baru yang lebih tertumpu (kepada operasi antarabangsa), atau tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan,” katanya dalam surat kepada pembaca yang diterbitkan di laman web.
Beliau menambah, keadaan ekonomi semasa turut menambah tekanan.
“Walaupun kami telah membuat perubahan dan mencuba idea baru sedaya upaya, struktur kos semasa kami tidak lagi mampan.
“Keputusan yang sukar tetapi perlu ini diambil untuk memastikan haluan yang lebih kukuh bagi TIA,” kata Encik Wee.
Secara keseluruhan, selepas mengambil kira penyusunan semula pasukan lain, 18 peratus kakitangan TIA akan terjejas dengan penutupan tersebut, lapor The Business Times (BT).
Mereka akan menerima pampasan pemberhentian kerja yang memenuhi syarat tempatan dan sokongan akan diberikan bagi membantu mereka melalui peralihan ini, termasuk membenarkan kakitangan terjejas menyimpan komputer riba masing-masing, kata TIA.
SPH Media, yang mengambil alih TIA pada 2024, menyatakan sokongannya terhadap keputusan TIA menyusun semula operasinya.
“Langkah ini bertujuan memberi tumpuan yang lebih jelas terhadap (usaha) penyerantauan serta memastikan kemampanan perniagaan dalam persekitaran media dan ekonomi yang mencabar,” kata SPH Media dalam satu kenyataan.
“Kami melihat penyusunan semula ini sebagai keputusan perniagaan yang bijak untuk memastikan TIA kekal fokus, tangkas dan sejajar dengan bidang pertumbuhan.
“TIA kekal sebagai aset penting dalam portfolio kami.”
Semua pelanggan TIA Indonesia akan dipindahkan secara automatik kepada langganan TIA International Premium, dan akan mendapat akses penuh kepada semua kandungan berbahasa Inggeris peringkat antarabangsa.
Mereka akan terus membayar harga langganan semasa, dan kadar istimewa itu akan dikekalkan selagi langganan mereka masih aktif, tambah TIA.
Tiada tindakan diperlukan daripada pelanggan kerana akses mereka akan dinaik taraf secara automatik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg