Syarikat dalam pelbagai sektor, daripada hartanah kepada robotik dan penjagaan kesihatan, menduduki tempat teratas dalam senarai 100 syarikat paling pesat berkembang di Singapura.
Satu persamaan yang dikongsi dalam kalangan syarikat itu ialah kesemuanya memanfaatkan teknologi dan sofwe inovatif untuk memajukan perniagaan mereka.
Senarai Syarikat Paling Pesat Berkembang Singapura itu disediakan The Straits Times dan firma penyelidikan global Statista, dan dikeluarkan pada 23 Januari.
Syarikat tenaga berbilang negara Rex International mengekalkan tempat pertama yang didudukinya dalam ranking 2023.
Tersenarai di Bursa Singapura (SGX), syarikat itu menjalankan perniagaan penerokaan dan penghasilan (E&P) minyak dan gas di Oman, Norway dan Malaysia.
Syarikat pengangkutan laut ISO Tank Management menduduki tempat kedua. Perniagaannya di seluruh dunia berkisar pada khidmat membekal dan mengangkut tangki ISO, iaitu kontena yang direka khas mengikut piawai Pertubuhan Antarabangsa bagi Pemiawaian (ISO) bagi membawa cecair.
Antara syarikat yang menduduki tangga 10 teratas ialah firma pengurusan dan pengitaran semula sisa SKRYA, syarikat pendidikan dan perkhidmatan KodeKloud, pengeluar robot pembersihan LionsBot, syarikat farmaseutikal khusus iX Biopharma, dan firma e-dagang Maneuver Marketing.
Senarai tersebut menyenaraikan 100 perniagaan tempatan yang meraih pertumbuhan pendapatan yang tinggi antara 2019 dengan 2022.
Antara kriteria untuk disenaraikan ialah syarikat mesti bebas dan beribu pejabat di Singapura dengan pendapatan sekurang-kurangnya $150,000 pada 2019 dan $1.5 juta pada 2022, menurut ST.
Penganalisis Statista, Cik Kim Seoyoung, berkata: “10 syarikat teratas merupakan campuran menarik pelbagai industri.
“Walaupun mereka menjalankan perniagaan dalam sektor berbeza, produknya memanfaatkan pelbagai wadah dan alat sofwe, termasuk dalam sektor perniagaan yang biasanya dianggap bukan teknologi maklumat (IT) seperti hartanah, penjagaan kesihatan dan pengurusan sisa.
“Trend ini lebih ketara dalam firma lebih muda dalam senarai 10 teratas.”
Contonya, LionsBot menggabungkan industri pembersihan dengan automasi dan teknologi. Ia mengeluarkan robot pembersihan autonomi yang mampu meningkatkan kecekapan pembersih profesional.
Firma itu, yang menduduki tempat kelima dalam senarai tersebut, bermula pada 2018 dan kini mempunyai 206 kakitangan.
Robot tersebut mampu melakukan pelbagai tugas pembersihan, sering dalam sekitaran komersial dan perindustrian. Ia boleh membersihkan lantai batu mahupun permaidani.
Syarikat lain yang menduduki tempat tinggi dalam senarai itu termasuk firma berdaya teknologi, contohnya syarikat penjagaan kesihatan Doctor Anywhere, yang menduduki tempat ketiga pada 2023 tetapi berada di tempat ke-11 pada 2024.
Penyedia khidmat automasi pintar SimplifyNext dan penyedia khidmat transformasi digital Technopals turut berada di luar sedikit daripada kelompok 10 terbaik.
Sektor kedua paling pesat berkembang ialah teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg