Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Jadikan kebimbangan sebagai peluang dalam hadapi AI

Jun 25, 2023 | 05:31 AM



Suaranya lunak, percakapannya lancar dan telor sebutannya pula mirip seseorang yang menuntut di luar negara. 

Bahkah jika tidak dimaklumkan awal, mereka yang mendengar suara itu buat kali pertama mungkin tidak tahu suara tersebut sebenarnya ciptaan teknologi kecerdasan buatan atau AI.

Stesen radio Malaysia Fly FM mencipta sejarah di negara itu apabila ia memperkenalkan DJ Aina Sabrina – deejay radio pertama yang dikuasai AI.

Stesen radio berusia 18 tahun itu adalah milik Media Prima, konglomerat media dan hiburan terbesar di Malaysia.

Dibangunkan oleh jurutera pengeluaran Fly FM, DJ Aina Sabrina bukan hanya boleh memikul tugas sebagai pengacara radio bahkan ‘dididik’ dengan pangkalan data muzik yang luas.

Beliau boleh mencipta dan menghasilkan muzik dalam masa nyata. Bukan itu sahaja beliau boleh membuat saranan muzik berdasarkan kegemaran individu.

“Dengan pengenalan DJ Aina, kami amat teruja mempersembahkan fasa baru industri radio Malaysia dan Aina merupakan tonggaknya,” kata pengarah kandungan Fly FM, Encik Sean Matjeraie.

DJ Aina bukan hanya mempunyai suara mirip manusia beliau juga mempunyai personaliti dan kegemarannya yang unik. 

Misalnya, Aina gemar budaya Jepun, suka Mochi, cosplay dan K-Pop. Beliau juga mempunyai akaun Instagramnya sendiri.


Buat masa ini, DJ Aina mengendalikan persembahan muzik kontemporari selama dua jam melalui stesen berbahasa Inggeris itu dan sering berkongsi secara ringkas tentang dirinya.

Menurut Fly FM, DJ Aina akan tampil di udara setiap hari dari 2 hingga 4 petang, mengajak pendengar menikmati trend muzik terkini.

Maklum balas daripada pendengar rata-rata ada yang kagum dan juga bimbang dengan keupayaan AI mengambil alih tugas manusia.

Dari ChatGPT yang berupaya membuat penyelidikan, menghasilkan laporan dan membuat kandungan media sosial hingga ke Siri, pembantu maya yang dihasilkan Apple, sukar dinafikan penggunaan AI dalam ekonomi, kerja dan kehidupan kian meluas. 

Dari masa ke masa ada sahaja syarikat yang mengumumkan khidmat baru berhubung AI. Kebanyakan khidmat AI yang ditawarkan berupaya menggantikan tenaga manusia.

Misalnya baru-baru ini saya berpeluang menemui seorang pengasas syarikat start up yang sedang mengumpul modal mahu mengembangkan syarikatnya.

Beliau sedang membangunkan teknologi AI untuk menulis kod yang akan kelak digunakan untuk menggerakkan sofwe peringkat perusahaan yang digunakan syarikat berbilang negara.

Nilai unik yang ditawarkan teknologi syarikat itu ialah keupayaan menawarkan huraian kepada isu kekurangan jurutera sofwe pengekodan yang kini amat diperlukan.

Dengan menggunakan AI, syarikat itu kini tidak perlu menggajikan jurutera sofwe pengekodan manusia.

Terdapat juga mesin AI yang ditawarkan satu lagi syarikat tempatan yang berupaya menggunakan rakaman suara individu untuk memeriksa penilaian kredit dan tahap emosi individu berkenaan.

Aplikasi itu kini digunakan beberapa bank di serata dunia sebagai salah satu cara mereka menilai kebolehan individu membayar balik pinjaman bank.

Sebuah pertubuhan keselamatan di sebuah negara jiran pula menggunakan aplikasi itu untuk menilai tahap emosi, kebertanggungjawaban dan keupayaan seseorang memegang senjata api dalam rangka tugas seharian.

Aplikasi itu sekali gus berupaya mengurangkan penglibatan penilai kredit manusia di bank atau karyawan tenaga manusia yang perlu menilai keupayaan calon dalam tugas sensitif.

Trend itu dijangka berterusan. Pakar menganggarkan sebanyak 40 peratus perekrut korporat akan menggunakan AI untuk menjalankan temu duga kerja menjelang 2024, dengan 15 peratus bergantung sepenuhnya pada AI untuk semua keputusan pengambilan pekerja, dari awal hingga akhir.

Tidak hairanlah, kebimbangan warga tentang penggunaan AI dalam kehidupan, ekonomi dan kerja merupakan sesuatu yang nyata.

Hujah dan komen negatif menyusuli pengenalan DJ Aina di Fly FM memberi secebis gambaran kebimbangan warga.

Merujuk kepada DJ Aina, seorang warga yang menggunakan nama nasxgideon di laman Instagram berkata: 

“Ini menakutkan dan kita semua tahu apa yang akan berlaku nanti. DJ manusia disingkir dan ambil DJ AI kerana tidak perlu membayar gaji?”

Pakar berpendapat manusia lazimnya takut pada yang tidak dikenali atau tidak diketahui. Naluri manusia biasanya menentang sesuatu perubahan. 

Tak kenal maka tak cinta, justeru satu cara mengatasi kebimbangan tentang AI ialah mengenal dengan lebih dekat dan mempelajari teknologi tersebut.

Beri masa kepada diri anda menentukur semula realiti baru AI dan bagaimana ia boleh menjejas kerjaya dan kehidupan anda.

Bincangkan kebimbangan anda dengan rakan kerja atau mentor di pejabat tentang cara yang anda boleh laksana untuk mengatasi perkara tersebut.

Hakikatnya di sebalik setiap cabaran ada hikmahnya.

Dengan gerakan penggunaan AI di sini dan di serata dunia semakin berkembang, tentu sekali ada peluangnya. 

Pemerintah Singapura misalnya telah melabur sekitar $500 juta dalam kajian dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun lalu.

Pemerintah juga telah melakar strategi AI nasional dengan menggariskan rancangan memperdalam penggunaan AI untuk mengubah ekonomi kami. Ini termasuk mengenal pasti bidang tumpuan dan sumber di peringkat nasional. Terdapat juga pelan bagaimana pemerintah, syarikat dan penyelidik boleh bekerjasama demi merealisasikan kesan positif daripada AI. Pada masa yang sama terdapat keperluan menangani dan mengurus risiko apabila AI menjadi lebih luas.

Dalam hal ini, pekerja misalnya boleh secara proaktif membangunkan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi AI, seperti pembelajaran mesin, analisis data, pemprosesan bahasa semula jadi dan robotik. Kemahiran sedemikian kian mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai industri dan boleh membuka laluan kerjaya baru.

Kemajuan AI akan mewujudkan peluang pekerjaan baru yang tidak wujud sebelum ini. Peranan seperti jurulatih AI, saintis data, pakar etika AI dan arkitek huraian AI kian muncul. Semua ini memerlukan pemahaman mendalam tentang teknologi AI dan aplikasinya dalam pelbagai bidang.

Pembangunan AI juga membuka pintu peluang bagi usahawan untuk mencipta sempadan baru dan menghasilkan huraian inovatif bagi isu yang menjejas kehidupan manusia.

Daripada sekadar berpeluk tubuh, dibelenggu kebimbangan kesan AI kepada kerjaya, lebih baik kita menyingsing lengan, memeluk perubahan dengan dada terbuka dengan membuat persiapan sewajarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >