Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek, Nvidia, Blackrock sebahagian kumpulan yang beli pengendali pusat data bernilai AS$40b 

Oct 16, 2025 | 2:32 PM
Nvidia merupakan salah satu pelabur yang membeli pengendali pusat data terbesar dunia dengan hampir 80 lokasi dalam perjanjian AS$40 bilion.
Nvidia merupakan salah satu pelabur yang membeli pengendali pusat data terbesar dunia dengan hampir 80 lokasi dalam perjanjian AS$40 bilion. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pelabur seperti BlackRock, Microsoft dan Nvidia membeli pengendali pusat data terbesar dunia dengan hampir 80 lokasi dalam perjanjian bernilai AS$40 bilion ($51.8 bilion) untuk mendapatkan kapasiti pengkomputeran bagi kecerdasan buatan (AI).

Pembelian Aligned Data Centers yang berpangkalan di Amerika Syarikat daripada Macquarie Asset Management dari Australia pada 15 Oktober merupakan perjanjian pertama bagi AI Infrastructure Partnership (AIP) yang ditubuhkan pada 2024. 

Ia turut disokong oleh Temasek Holdings dari Singapura, dana MGX yang berpangkalan di Abu Dhabi, syarikat pemula xAI milik Elon Musk, dan Penguasa Pelaburan Kuwait.

“Dengan pelaburan dalam Aligned Data Centers ini, kami meneruskan matlamat kami untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong masa depan AI,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BlackRock, Encik Larry Fink, yang juga pengerusi AIP.

Perjanjian untuk mendapatkan cip dan infrastruktur

Pengambilalihan ini merupakan yang terkini dalam siri perjanjian besar oleh syarikat teknologi gergasi dan syarikat permulaan Silicon Valley yang dipacu lonjakan dalam AI.

Syarikat teknologi utama termasuk Alphabet, Amazon.com, Meta, Microsoft dan CoreWeave dijangka akan membelanjakan AS$400 bilion bagi infrastruktur AI pada 2025, menurut anggaran Morgan Stanley.

OpenAI, syarikat pemula yang menjadi pusat kepada ledakan AI, baru-baru ini memeterai perjanjian dengan pengeluar cip Nvidia, Advanced Micro Devices dan Broadcom yang dijangka menelan perbelanjaan lebih AS$1 trilion untuk memperoleh sekitar 26 gigawatt kapasiti pengkomputeran, cukup untuk membekalkan tenaga kepada sekitar 20 juta rumah di Amerika.

Meta Platforms sedang membina beberapa pusat data AI dengan kapasiti berbilang gigawatt, termasuk satu yang dinamakan Prometheus yang dijangka beroperasi pada 2026, dan satu lagi dinamakan Hyperion yang boleh dikembangkan sehingga lima gigawatt.

Aligned Data Centers, yang dimiliki secara persendirian, kini mempunyai kapasiti operasi dan dirancang sebanyak lebih lima gigawatt.

Ia terletak di lebih 50 kampus di Amerika Syarikat dan Amerika Latin.

Pengurus portfolio di Equity Armor Investments, Encik Joe Tigay, pemegang saham Nvidia, berkata bahawa pengambilalihan ini menyerlahkan nilai yang semakin meningkat bagi aset pusat data kepada para pelabur.

“Mereka sedang melihat kepada pengembangan pesat untuk memenuhi permintaan AI dan mengoptimumkannya.”

Lonjakan perbelanjaan seiring lonjakan minat

Aligned mendapat faedah utama daripada lonjakan perbelanjaan infrastruktur AI, mengumpul AS$12 bilion dalam ekuiti dan hutang pada awal 2025 - salah satu suntikan modal terbesar ke dalam syarikat pusat data. 

Kumpulan pelabur yang membeli Aligned mempunyai sasaran awal untuk melabur AS$30 bilion, dengan potensi mencapai AS$100 bilion termasuk hutang, namun tidak mendedahkan sumbangan atau nilai ekuiti pada 15 Oktober. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg