Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada jalan pintas miliki lima perniagaan

Usahawan muda kongsi cabaran ditipu rakan niaga dan pembukaan kilang di United Kingdom
Mar 24, 2025 | 5:30 AM
Setelah melalui kegagalan dalam perniagaan pertamanya sekitar 10 tahun lalu, Cik Miza Nazili Ghazali bangkit semula dan kini menguruskan beberapa perniagaan, termasuk Shortcutx – produk suplemen yang didakwa dapat membantu melangsingkan badan – yang ditubuhkannya pada 2022.
Setelah melalui kegagalan dalam perniagaan pertamanya sekitar 10 tahun lalu, Cik Miza Nazili Ghazali bangkit semula dan kini menguruskan beberapa perniagaan, termasuk Shortcutx – produk suplemen yang didakwa dapat membantu melangsingkan badan – yang ditubuhkannya pada 2022. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap kejayaan bermula dengan cabaran dan bagi Cik Miza Nazili Ghazali, perjalanan sebagai usahawan tidak terkecuali daripada dugaan.

Bermula dengan perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang dipanggil Iceburnz di Bazar Ramadan Geylang Serai pada sekitar 2012, beliau kini memiliki lima perniagaan merentasi industri fesyen dan suplemen kesihatan.

Dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH), usahawan muda itu mengakui bahawa titik permulaannya dalam dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Ketika kali pertama beliau memulakan Iceburnz – menjual antara lain, teh ais Thai, takoyaki, beraneka makanan laut, dan aiskrim soft serve Nutella – Cik Miza, 31 tahun, tidak menyangka dapat membuka kedai sendiri, hanya tiga tahun selepas berniaga di bazar Ramadan.

Kedai Iceburnz kemudian dibuka di Shenton Way pada 2015 tetapi ia ditutup setelah Cik Miza tidak berjaya membawa masuk keuntungan secara berkekalan.

“Kedai itu gagal kerana saya tidak merancang dengan tepat. Saya tidak buat kajian pasaran yang mencukupi tentang lokasi itu.

“Ia adalah Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan orang ramai hanya datang pada waktu makan tengah hari.

“Selepas 5 petang, tiada siapa yang mengunjungi kedai,” jelasnya.

Sewa kedai itu tinggi, memaksa beliau menutupnya kurang dari setahun, dan menyebabkan beliau menanggung hutang $80,000.

Cik Miza kembali berniaga di bazar Ramadan selama sekitar dua tahun selepas kedai itu ditutup kerana beliau suka dunia perniagaan.

Namun, rakan kongsinya pula melarikan diri dengan hasil jualan, lantas mematahkan semangatnya.

Beliau memutuskan untuk menutup Iceburnz dan akhirnya mendapat pekerjaan sepenuh masa di sebuah syarikat minyak dan gas.

“Saya sedang mengikuti diploma sambilan pada waktu yang sama. Tetapi saya sedar pekerjaan di pejabat tidak sesuai dengan jiwa saya.

“Semasa saya mengurus Iceburnz, saya sudah biasa mendapat hasil jualan yang banyak, lima angka setiap bulan, jadi saya tidak biasa dengan pekerjaan di pejabat.

“Saya memberitahu diri saya bahawa saya perlu kembali kepada dunia keusahawanan,” ujarnya.

Pernah keciciran ketika menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Miza kemudian berjaya meraih Diploma dalam Komunikasi Massa daripada Kaplan Singapore pada 2015.

Cik Miza kemudian bertugas sebagai pengedar produk kecantikan berpangkalan di Malaysia.

Beliau terpaksa menaiki bas ulang-alik antara Johor Bahru dengan Singapura setiap hari untuk mendapatkan bekalan produk.

“Ini kerana saya tidak mampu membayar kos penghantaran ke Singapura.

“Saya membawa beg penuh dengan stok ulang-alik melalui kastam.

“Saya terdesak, saya tahu ini peluang terakhir saya.

“Alhamdulillah, perniagaan itu dapat jumlah pesanan yang baik.

“Saya juga belajar mengenai e-dagang, penciptaan kandungan, pemasaran dalam TikTok... semua yang saya perlukan untuk berjaya,” katanya, menerangkan semangatnya yang suka belajar sesuatu yang baru untuk berjaya.

Menggunakan kemahiran tersebut, beliau membangunkan wadah media sosial dan laman web khas untuk memasarkan dan menjual produk itu.

Laman web itu kemudian dinamakan, Beautyfyxed – pasaran e-dagang bagi produk suplemen – salah satu perniagaan kendalian Cik Miza.

Ia kini merupakan pasaran dalam talian bagi menjual produk suplemen dari Malaysia dan Singapura.

Pengalaman itu mendorongnya melancarkan produk sendiri dipanggil IVwhite, iaitu produk pemutih kulit, beberapa tahun kemudian.

Dari situ, Cik Miza mengembangkan perniagaannya pada 2022 dan menubuhkan Shortcutx, jenama suplemen menjual produk pelangsingan badan yang kini menjadi antara perniagaan terasnya.

“Produk Shortcutx unik kerana ia dijual dalam sachet sedia untuk diminum. Anda hanya perlu buka sachet dan minum.

“Sebelum ini, saya sebenarnya agak gemuk. Saya selalu menghadapi masalah mencari suplemen yang membantu menyekat selera makan saya.

“Ia juga sukar untuk saya menelan pil. Jadi, saya ingin buat suplemen saya sendiri dalam bentuk jus,” jelasnya.

Beliau turut mempunyai kilang di United Kingdom yang menjalankan proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi produk Shortcutx.

Kilang itu turut menghasilkan sebahagian daripada produk Shortcutx.

Shortcutx juga telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 500 syarikat perniagaan kecil dan sederhana (SME) terbaik di Singapura pada 2022 oleh Persatuan Perdagangan dan Perusahaan (ATC).

Cik Miza percaya bahawa pemasaran yang berkesan adalah kunci kejayaan. Justeru, beliau banyak menjalin kerjasama dengan personaliti terkenal untuk produk-produknya.

Antara usaha sama yang dijalankannya termasuk Tradishot, suplemen berasaskan jamu, bersama pasangan selebriti Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, yang lebih dikenali sebagai Syarif daripada kumpulan hip-hop, Sleeq dan Malaque Mahdaly.

“Mereka sebenarnya kawan saya sejak kecil. Jadi, bila mereka mahu mulakan produk suplemen, mereka mendekati saya,” jelasnya.

Selain industri kecantikan, beliau turut menebarkan sayapnya dalam bidang fesyen dengan menubuhkan jenama pakaian, Naezily.

Cik Miza menjadikan fesyen Hari Raya sebagai tumpuan utama jenamanya dan strategi pemasaran berasaskan kerjasama dengan selebriti membantunya meraih kejayaan besar.

“Tahun lalu (2024), kami bekerjasama dengan Taufik Batisah untuk koleksi Hari Raya.

“Sebelum itu, kami pernah bekerjasama dengan Nora Danish,” katanya.

Namun, Cik Miza baru-baru ini mengumumkan di media sosial bahawa beliau akan menghentikan operasi Naezily untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya yang lain.

“Menguruskan berbilang perniagaan memberi ganjaran yang luar biasa, tetapi hakikatnya, masa, tenaga dan kapasiti saya terhad dalam satu hari.

“Saya terpaksa berundur selangkah dan menilai apa yang terbaik untuk saya, masa depan saya dan jenama lain yang telah saya bina,” jelasnya.

Sebelum ia ditutup, Cik Miza telah mengeluarkan koleksi Hari Raya terakhirnya pada 6 Mac.

Cik Miza mengaitkan kejayaannya hasil sokongan kakitangannya, serta budaya kerja yang disemai dalam pejabat.

Menurutnya, mempunyai budaya kerja yang positif dan saling menyokong adalah penting agar syarikat dapat berkembang.

“Saya fikir, mempunyai struktur syarikat yang baik sangat penting untuk memastikan orang ramai tidak sabar untuk pergi ke pejabat.

“Kakitangan saya semua tidak sabar untuk pergi bekerja setiap hari. Mereka menikmati kerja mereka dan selalu ketawa di tempat kerja.

“Mereka tahu bahawa mereka mempunyai anggota pasukan yang baik, yang akan menyokong mereka jika mereka menghadapi sebarang masalah,” ujarnya.

Kini, Cik Miza, anak bongsu empat beradik, mengendalikan kesemua perniagaannya dan dalam masa yang sama mengimbangi kehidupan peribadinya.

Dengan jadual yang ketat, beliau memastikan semua tugasan diurus dengan baik.

“Pada mulanya memang saya rasa terbeban, tetapi selepas saya belajar mengurus masa dan mendelegasikan tugas dengan betul, semuanya lebih lancar,” katanya yang mengendalikan Beautyfyxed (produk suplemen e-dagang); Shortcutx (suplemen pelangsing badan); Tradishot (suplemen berasas jamu); IVwhite (produk pemutih kulit); dan Naezily (pakaian untuk wanita).

Sebagai pesanan kepada mereka yang ingin menceburi dunia keusahawanan, Cik Miza menekankan kepentingan perancangan yang teliti.

“Buat banyak kajian pasaran, fahami keunikan produk anda dan buat perancangan kewangan yang kukuh.

“Jangan sekadar ikut trend tanpa strategi yang jelas.

“Anda perlu tahu bila untuk mengambil risiko dan sama ada risiko itu menjejas kewangan anda.

“Saya rasa mempunyai cita-cita tinggi bagus, tetapi mengambil risiko besar tanpa rancangan yang kukuh benar-benar boleh membawa masalah yang tidak diinginkan,” nasihatnya.

Pesanan kepada yang ingin jadi usahawan

Buat banyak kajian pasaran, fahami keunikan produk anda dan buat perancangan kewangan yang kukuh. Jangan sekadar ikut trend tanpa strategi yang jelas. Anda perlu tahu bila untuk mengambil risiko dan sama ada risiko itu menjejas kewangan anda.
 Cik Miza Nazili Ghazali.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg