Harga pelan mudah alih yang ditawarkan oleh StarHub, M1 dan jenama sampingan mereka akan kekal tidak berubah pada 2027, sehingga penggabungan antara kedua-dua syarikat telekomunikasi itu selesai berikutan kelulusan kawal selia.

Sebarang perubahan harga tertakluk kepada perundingan awam, yang akan diadakan selepas penyerahan permohonan kepada badan kawal selia menjelang 25 November, kata Ketua Pegawai Eksekutif StarHub, Encik Nikhil Eapen, semasa taklimat kepada penganalisis pada 24 November.

Urus niaga saham sepenuhnya bernilai $1.1 bilion, yang diumumkan pada 24 November, dijangka selesai pada separuh pertama 2027.

Jika diluluskan, penggabungan itu akan menyelia 4.1 juta pelanggan mudah alih dan lebih 750,000 pelanggan jalur lebar dalam portfolionya, yang merangkumi giga, Circles.Life, MyRepublic dan eight.

Menurut bakal Ketua Pegawai Eksekutif StarHub, Encik Matt Williams, setiap jenama itu dirancang khusus untuk menarik kumpulan pelanggan yang berbeza, sekali gus memenuhi pelbagai keperluan pengguna di Singapura. 

Entiti baharu yang dicadangkan itu akan menawarkan perkhidmatan penuh menerusi StarHub dan M1, termasuk pakej gabungan serta kedai fizikal.

Sementara itu, jenama digital seperti giga, Circles.Life dan MyRepublic akan memberi tumpuan kepada pelanggan yang lebih gemar mengurus perkhidmatan melalui aplikasi.

Jenama Eight dan Maxx pula akan menawarkan pelan telekomunikasi yang lebih mudah dan mampu milik.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Pada ketika ini, hasrat kami adalah untuk mengekalkan keadaan seperti sedia ada, kerana keutamaan pertama kami ialah memastikan semua pelanggan tersebut kekal bersama kami, dan kami membina perniagaan ini bersama-sama,” kata Encik Williams.

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi itu akan memastikan pengalaman pelanggan tidak terjejas. 

“Buat masa ini, setiap jenama tersebut berjaya memenuhi keperluan kumpulan pelanggan yang berbeza. Dalam setiap kumpulan pelanggan ini, kami turut melihat prestasi yang semakin kukuh.”

Pelanggan sedia ada juga akan mengekalkan pelan, perkhidmatan dan saluran hubungan mereka yang sedia ada.

Gabungan jenama itu, operasi rangkaian, tapak mudah alih dan infrastruktur turut bertujuan menyediakan pelanggan dengan ketersambungan yang lebih baik serta pelbagai perkhidmatan yang lebih luas, kata Encik Williams.

Namun, beliau menambah bahawa rancangan jangka panjang untuk harga dan pelan masih belum ditentukan.

Gabungan StarHub-M1 dengan 4.1 juta pelanggan mudah alih masih ketinggalan berbanding peneraju pasaran, Singtel, yang mempunyai 4.5 juta pelanggan. 

Simba Telecom kekal sebagai syarikat telekomunikasi bertaraf penuh terkecil, dengan hampir 1.5 juta pengguna mudah alih.

Pada 24 November, StarHub turut mengumumkan bahawa ia telah mengambil keputusan untuk mengambil alih operasi Singapura milik pengendali rangkaian mudah alih maya, Circles.Life.

Syarikat induk M1, Keppel, sebelum ini telah mencari pembeli baharu untuk syarikat telekomunikasi terbesar ketiga di Singapura itu, susulan kegagalan pengambilalihan oleh syarikat telekomunikasi disokong Australia, Simba, awal 2026.

Sebelum cadangan pengambilalihan M1 oleh Simba gagal, syarikat telekomunikasi tersebut telah komited untuk mengekalkan harga semasa bagi pelanggan mudah alih sedia ada sekurang-kurangnya selama dua tahun selepas penggabungan selesai.

Encik Eapen dari StarHub enggan mendedahkan sama ada entiti gabungan baharu itu akan komited kepada sebarang rancangan serupa, sambil menambah bahawa rancangan masa depan akan menjadi lebih jelas selepas perundingan awam dijalankan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti