Topik diikuti
Pergi ke BHkuStarHub pindah semua pelanggan MyRepublic Mobile ke rangkaiannya
Ambil alih daripada M1, perluas bahagian pasaran dalam sektor mudah alih pengguna di S'pura
StarHub akan memindahkan semua pelanggan 4G dan 5G MyRepublic ke rangkaiannya, sekali gus memperluaskan bahagian pasarannya dalam sektor mudah alih pengguna di Singapura.
Diumumkan oleh StarHub pada 6 Ogos, perjanjian itu memperkukuhkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua syarikat sebagai Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) bagi perkhidmatan 5G yang telah dimeterai pada 2022.
MVNO ialah penyedia perkhidmatan mudah alih yang tidak memiliki infrastruktur rangkaian fizikal sendiri.
Langkah itu juga menyusuli kejayaan StarHub melengkapkan pengambilalihan perniagaan jalur lebar MyRepublic pada Ogos 2025, apabila syarikat itu membeli baki pegangan sebanyak 49.9 peratus pada harga $105.2 juta.
Sebelum itu, StarHub telah memperoleh pegangan awal sebanyak 50.1 peratus pada 2022.
Melalui langkah terbaru itu, pelanggan 4G MyRepublic akan dipindahkan daripada rangkaian M1 kepada rangkaian StarHub.
MyRepublic sebelum ini telah menggunakan rangkaian mudah alih 4G M1 secara pajakan sejak September 2020.
Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu tidak mendedahkan jumlah pelanggan yang akan terlibat atau tarikh proses peralihan akan selesai.
Namun, mereka memaklumkan bahawa pelanggan akan dihubungi oleh pasukan khidmat pelanggan MyRepublic bagi memastikan proses peralihan rangkaian berjalan lancar.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) StarHub, Encik Nikhil Eapen, yang akan menamatkan perkhidmatannya pada penghujung 2026, berkata kerjasama baru dengan MyRepublic akan terus mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pengendali mudah alih kedua terbesar di Singapura dari segi bahagian pasaran berdasarkan hasil pendapatan.
Ketua Kumpulan Perniagaan Pengguna dan CEO yang bakal mengambil alih jawatan, Encik Matt Williams, berkata:
“Seiring dengan perubahan pasaran, kami akan terus mencari peluang yang dapat mengukuhkan perniagaan kami.”
MyRepublic menjadi MVNO kedua dalam tempoh dua bulan yang menukar rangkaian mudah alihnya.
Pada 30 Jun lalu, MVNO redONE, yang sebelum ini beroperasi menggunakan rangkaian StarHub, telah menghentikan operasinya.
Pelanggan sedia ada digalakkan untuk beralih kepada anak syarikat StarHub, eight, yang menawarkan perkhidmatan mudah alih pada kos rendah.
Pengumuman StarHub itu juga dibuat selepas Keppel, pemegang saham pengawal M1, memaklumkan dalam taklimat keputusan kewangannya pada 30 Julai bahawa syarikat itu sedang melaksanakan rombakan menyeluruh terhadap M1.
Langkah tersebut disasarkan untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak $70 juta menjelang 2028, serta meletakkan M1 pada kedudukan yang lebih kukuh bagi menghadapi kemungkinan penyatuan industri telekomunikasi pada masa hadapan.
Sebelum ini, Keppel hampir mencapai persetujuan untuk menjual perniagaan telekomunikasi M1 kepada Simba Telecom pada nilai $1.4 bilion.
Namun, urus niaga itu gagal selepas Tuas Ltd, syarikat induk Simba yang disenaraikan di Australia, mengumumkan pada Mei bahawa ia telah menamatkan perjanjian untuk mengambil alih M1.
