Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Tinjauan dapati koleksi seni, jam tangan jadi pelaburan kegemaran

Tinjauan pendapat Knight Frank menunjukkan bagi 2024, golongan kaya raya di S’pura pilih seni dan jam tangan sebagai aset pelaburan terbesar mereka
Mar 17, 2024 | 05:30 AM



Tahun lalu, meskipun lelongan rumah mencapai jualan melebihi rekod, pelaburan mewah merosot ke paras negatif. Ini berdasarkan Indeks Pelaburan Mewah Knight Frank (KFLII) yang dikeluarkan minggu lalu sebagai sebahagian daripada Laporan Kekayaan tahunan perunding hartanah itu.

Indeks yang menjejaki prestasi 10 pelaburan kegemaran popular menunjukkan bahawa seni merupakan kelas aset mewah berprestasi terbaik, dengan harga meningkat 11 peratus pada 2023.

Ia juga satu-satunya daripada 10 indeks Knight Frank yang mencapai pertumbuhan dua angka pada 2023, dengan KFLII turun 1 peratus secara purata.

Bersama-sama dengan seni, barang kemas (8 peratus), jam tangan (5 peratus), syiling (4 peratus) dan berlian berwarna (2 peratus) membentuk lima aset berprestasi terbaik.

Di Singapura, tinjauan pendapat Knight Frank menunjukkan bahawa bagi 2024, golongan kaya raya sanggup melabur paling banyak dalam seni dan jam tangan, menurut laporan The Business Times (BT).


Seni merupakan pilihan utama bagi 58 peratus responden, naik daripada kedudukan keempat tahun sebelumnya.

Jam tangan memperoleh 49 peratus undi.

Mengikut KFLII, seni berkembang secara kumulatif 105 peratus sepanjang 10 tahun lalu, atau kira-kira 11 peratus pada 2023.

Jam tangan pula mencatatkan peningkatan kumulatif 138 peratus, atau keuntungan 5 peratus tahun lalu.

Knight Frank menyatakan bahawa pelaburan keghairahan ini mengatasi inflasi dalam jangka panjang, memandangkan Indeks Harga Pengguna Singapura meningkat 14.2 peratus dari 2014 hingga 2023.

Ketua pejabat kediaman dan swasta di Knight Frank Singapore, Encik Nicholas Keong, berkata: “Apabila populasi golongan kaya di Singapura berkembang dengan kejayaan ekonomi yang stabil, lebih ramai individu akan beralih kepada pelaburan yang boleh dikumpul ini.”

Tetapi, sedang koleksi berpotensi memberi ganjaran kewangan, dua pengumpul Singapura memberitahu sebab sebenar mengapa mereka mengejar minat mereka.

Gerald Lum,
pengumpul jam tangan

‘Minat yang menyeksakan’ – kekata itu diungkapkan Encik Lum mengenai tabiatnya mengumpul jam tangan selama 13 tahun.

“Setiap kali anda mendapat sebutir (jam tangan), anda berfikir ini akan menjadi yang terakhir tetapi tidak pernah begitu,” kata pengarah jenama, pemasaran dan komunikasi itu sambil ketawa.

“Anda hanya terus menambah dan menambah.”

Minatnya berputik 20 tahun lalu ketika bekerja dalam industri penerbangan dan menyedari bahawa juruterbang mempunyai jam tangan ‘mewah’. Pada masa itu, Tag Heuer dan Breitling adalah antara jenama yang kerap menjadi sebutan dalam industri.


Encik Lum tidak mendedahkan jumlah jam tangan yang dimilikinya tetapi hanya menyebut beberapa sebagai sorotan koleksinya.

“Bagi saya jam tangan adalah mengenai cerita disebaliknya,” katanya. “Dan juga, sudah tentu, pengumpulannya serta nilai artistiknya.”

Encik Lum menganggap jam tangan ‘sebenar’ pertamanya ialah jenama IWC Schaffhausen Pilot. Jam itu istimewa baginya kerana itulah permulaan beliau mengumpul jam tangan. Pada masa itu, model itu tidak begitu terkenal.


Di antara koleksi Rolex pertama beliau ialah GMT-Master II dengan bezel seramik hitam, dibeli kira-kira 10 tahun lalu.


“Jam tangan ini meletakkan saya ke landasan jenama Rolex yang sangat menyakitkan,” katanya. “Sakit kerana ada jam sejenama yang saya tidak dapat perolehi.”


Koleksi Rolex seterusnya ialah Submariner hijau yang digelar Hulk yang telah menjadi item koleksi yang diburu pengumpul kerana ia tidak lagi dihasilkan.


Encik Lum kebetulan sedang berjalan melepasi butik jam tangan di Capri, Italy, kira-kira sedekad lalu apabila beliau melihat Hulk di tingkap.


Bukan sahaja ia boleh dijual, warna hijaunya menjadikannya tidak popular ketika itu dan kakitangan jualan menawarkannya pada harga diskaun.

Satu lagi Rolex penting untuknya ialah Sky-Dweller, jam tangan jenama yang paling kompleks. Beliau berjaya membelinya di Strasbourg, Perancis, selepas gagal memperoleh mana-mana Rolex di London dan Paris ketika bercuti di sana selepas pandemik Covid-19. Sempadan baru sahaja dibuka semula pada masa itu dan stok tidak tersedia.


Rolex-nya yang paling berharga adalah Cosmograph Daytona yang diidamkan dengan dail hitam. Dan beliau sedang mencari untuk menambah versi dengan dail putih yang dikenali sebagai Panda pada koleksinya.


Selain Rolex, beliau juga memilih ‘jenama mikro mewah’ seperti H Moser & Cie, jam tangan yang dihasilkan hanya 1,500 butir setahun, Historiques Vacheron Constantin dan Patek Philippe Aquanaut.


Linda Neo,
pengumpul seni

Namanya tidak asing dalam dunia seni dan yang jelas, beliau lebih daripada sekadar pengumpul seni.

Neo juga seorang penyokong seni yang kuat, bersetuju untuk temu bual bagi membantu mempromosikan seni Singapura, mempengerusikan Oh! Open House – sebuah badan seni bebas – dan mendorong rakan pengumpul untuk menunjukkan karya mereka.


“Apabila kami mula mengumpul, ia bukan tentang melihat (seni) sebagai alat pelaburan atau aset alternatif,” kata broker kewangan itu. “Ia benar-benar hobi yang bertukar menjadi minat mendalam.”

Titik permulaannya agak mudah – suaminya, Encik Albert Lim, seorang yang meminati seni dan pasangan itu menghabiskan banyak masa di muzium semasa perjalanan mereka ke luar negara.

“Saya berusaha untuk bersama-samanya supaya apabila kami semakin berumur, kami dapat berkongsi minat yang sama,” jelas Cik Neo.

Pasangan itu bermula dengan memperoleh seni Barat dan Renaissance tetapi sejak itu telah mengalihkan tumpuan kepada seni kontemporari Asia Tenggara – terutamanya karya Singapura.

Pada 2014, mereka membuka Galeri Primz untuk memaparkan koleksi mereka yang semakin bertambah sebelum akhirnya turut memberikan akses awam kepadanya.

Encik Lim, yang sudah bersara tetapi terlibat dalam perniagaan sendiri, malah berjaya dalam bidang sejarah seni kerana minatnya.

“Saya fikir adalah penting untuk kita memahami sejarah seni di Asia Tenggara dan juga di seluruh dunia supaya kita boleh mempunyai koleksi dengan cara yang lebih bijak,” tambah Cik Neo.

Beliau telah melihat seni tempatan semakin berkembang.

Kira-kira 10 tahun lalu, sukar untuk mendapatkan maklumat tentang seni halus. Tetapi hari ini, galeri dipaparkan, dan terdapat kurator bebas dan keseluruhan ekosistem yang menyokong seni.

“Ramai orang berpendapat sangat mudah untuk mengadakan pameran, tetapi ia tidak begitu,” katanya.

“Terdapat pelbagai perkara yang perlu anda lakukan hanya untuk mengadakan pameran. Anda menghabiskan, katakan, setengah jam berjalan-jalan untuk melihat. Tetapi beberapa rancangan ini mengambil masa satu hingga dua tahun sebelum ia boleh dilihat hasilnya,” tambahnya.

Beliau gembira kerana minat dalam mengumpul seni telah berkembang dengan pesat. Kini terdapat lebih banyak biasiswa, kerja penyelidikan, program latihan dalam pengurusan seni dan pendedahan awam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >