Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan DBS: SME labur dalam AI, kemahiran untuk kekal berdaya saing

Mar 17, 2025 | 3:59 PM
Syarikat yang ditinjau optimis terhadap peluasan perniagaan mereka ke luar negara, dengan sekitar 70 peratus berhasrat memperuntukkan modal bagi pengembangan serantau.
Syarikat yang ditinjau optimis terhadap peluasan perniagaan mereka ke luar negara, dengan sekitar 70 peratus berhasrat memperuntukkan modal bagi pengembangan serantau. - Foto ST

Syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan melakukan persediaan untuk menghadapi cabaran masa depan dengan melabur dalam huraian kecerdasan buat­an (AI) Generatif, peningkatan kemahiran pekerja dan peluasan ke luar negara untuk kekal berdaya saing di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan turun naik pasaran. 

Ini adalah dapatan daripada Tinjauan Nadi Perniagaan DBS yang dijalankan pada awal 2025 melibatkan lebih 110 syarikat dari pelbagai industri. Ia diterbitkan di laman web DBS pada 3 Februari.

Tinjauan itu dijalankan untuk memahami keperluan, kebimbangan dan aspirasi SME tempatan, dengan dapatan utama menunjukkan trend dan hala tuju mereka.

Sebilangan besar syarikat yang ditinjau didapati menuju ke arah penggunaan AI Generatif.

Sejajar dengan usaha negara untuk meningkatkan penerimaan dan mempercepat penggunaan teknologi dalam industri ini, 73 peratus responden menyatakan mereka merancang untuk melabur dalam huraian berasaskan AI Generatif.

Sekitar 72 peratus juga merancang untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan memperkasa kakitangan dalam menerapkan teknologi canggih tersebut dalam syarikat mereka.

Sementara itu, 32 peratus responden telah berjinak-jinak mengaplikasikan alat AI Generatif untuk fungsi seperti pemasaran dan komunikasi.

Menurut syarikat yang ditinjau, perkara yang paling bermanfaat dalam mempercepatkan perjalanan transformasi mereka adalah: geran yang diberikan pemerintah, akses kepada penyelesaian digital yang berpatutan, serta panduan praktikal dalam pemilihan alat yang sesuai mengikut keperluan perniagaan.

Syarikat yang ditinjau juga optimis terhadap peluasan perniagaan mereka ke luar negara, dengan sekitar 70 peratus berhasrat memperuntukkan modal untuk pengembangan serantau.

Lebih 60 peratus syarikat telah menerapkan strategi yang bertujuan memacu peluasan ke negara Asean serta rantau berpotensi tinggi lain.

Antara strategi yang digunakan ialah membuat pemerhatian pada pasaran, mengenal pasti undang-undang perdagangan dan pematuhan, serta akses kepada rangkaian pembekal dan pengedar yang boleh dipercayai.

Tinjauan ini juga melihat sejauh mana SME bersedia dalam aspek kemampanan, susulan pelaksanaan peraturan baru yang mewajibkan syarikat tersenarai melaporkan kesan iklim mereka mulai 2025. 

Peraturan itu, yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, dijangka memberi kesan besar kepada SME yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat besar.

Tinjauan tersebut mendapati hanya sebilangan kecil SME, iaitu 36 peratus, telah memulakan inisiatif kemampanan bagi syarikat mereka. Dapatan itu menyerlahkan keperluan untuk terus memberi sokongan kepada SME tempatan dalam usaha mereka beralih kepada operasi yang lebih mampan.

Halangan utama dalam menjadikan operasi lebih mampan termasuk sumber yang terhad, kesukaran memahami peraturan yang rumit, serta pengurusan kos peralihan. 

Mengulas dapatan tinjauan itu, Encik Koh Kar Siong, Ketua Kumpulan Perbankan Korporat dan SME di DBS, berkata:

“SME di Singapura (didapati) mengambil langkah berani untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, sama ada dengan melabur dalam AI Generatif bagi meningkatkan produktiviti atau berkembang ke pasaran berpotensi tinggi untuk mencari peluang baru.

“Keupayaan mereka menyesuaikan diri dan komitmen terhadap transformasi amat penting untuk kekal berdaya saing dalam landskap yang semakin tidak menentu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg