Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO DBS jangka Amerika dorong pertumbuhan global 2025

Namun tiga potensi halangan dikenal pasti yang boleh bawa perubahan pantas pada harga nominal komoditi
Jan 15, 2025 | 5:52 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Encik Piyush Gupta, berkata sumber kekuatan terbesar dalam ekonomi global adalah dari Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Encik Piyush Gupta, berkata sumber kekuatan terbesar dalam ekonomi global adalah dari Amerika Syarikat. - Foto ZAOBAO

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Bank yang bakal tamat perkhidmatan, Encik Piyush Gupta, menjangka Amerika Syarikat akan kekal sebagai enjin pertumbuhan global. 

Namun, beliau memberi amaran tentang tiga cabaran yang berpotensi membawa kepada pembetulan pasaran, yang mana harga nominal komoditi berubah dengan pantas.

Encik Gupta, yang menyertai bank Singapura itu pada 2009 dari Citibank, akan menyerahkan tugas kepada Timbalan CEO, Cik Tan Su Shan, pada mesyuarat agung tahunan DBS pada 28 Mac, lapor The Straits Times.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, DBS memulakan transformasi digitalnya, satu perjalanan yang mendorong pendapatan bank tersebut dan akhirnya meningkatkan nilai pasaran melebihi $120 bilion, satu pencapaian yang tiada tandingannya di sini.

Encik Gupta menyampaikan ucapan pembukaan terakhirnya pada 13 Januari di Tinjauan Pasaran Bank Persendirian DBS untuk suku pertama 2025.

Beliau berkata: “Sumber kekuatan utama ekonomi global datang dari Amerika. Jualan runcit masih kukuh... inflasi tinggi, tetapi data gaji tinggi dan pekerjaan sedang dicipta.”

Walaupun pasaran menjangkakan Lembaga Simpanan Federal (FED) tidak akan memotong kadar faedah lagi, Encik Gupta meramalkan “beberapa pemotongan kadar faedah”.

Menurutnya, masih terdapat ketidaktentuan pada dasar Amerika.

Jika pentadbiran Encik Donald Trump melaksanakan tarif dan pelonggaran fiskal, ia boleh menyokong pertumbuhan Amerika.

Encik Gupta berkata pelabur patut membeli saham Amerika walaupun mahal kerana pendapatan semakin meningkat.

Namun, risiko besar tidak boleh diabaikan, kata beliau.

Salah satunya adalah kemungkinan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan.

Hutang isi rumah di Amerika meningkat AS$147 bilion ($201 bilion) kepada rekod tertinggi AS$17.94 trilion, menurut data Bank Lembaga Simpanan New York.

Pinjaman perumahan menyumbang 70 peratus daripada jumlah tersebut, manakala kadar kegagalan pembayaran kad kredit dan pinjaman kereta juga meningkat.

Beliau berkata ketidakstabilan pasaran kewangan boleh menjejas ekonomi secara keseluruhan, menyebabkan ketidakpastian.

Dasar perdagangan yang lebih ketat boleh memberi kesan buruk kepada negara membangun dan Asia yang bergantung pada eksport dan pertumbuhan yang perlahan di rantau ini boleh menjejas Amerika.

Hutang Amerika yang tinggi, sekitar 120 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), boleh memberi kesan negatif kepada pasaran.

Pelabur mungkin mahu lebih berhati-hati dan melabur ke pasaran negara membangun selain Amerika.

Mengenai China, Encik Gupta menyatakan bahawa banyak langkah dasar telah diambil untuk merangsang pertumbuhan, tetapi cabaran utama yang dihadapi adalah kekurangan keyakinan pasaran.

Walaupun beberapa sektor di China mungkin menunjukkan peningkatan, sektor seperti pasaran kenderaan elektrik, yang mempunyai lebih daripada 100 pengeluar, mungkin mengalami kerugian.

Pertumbuhan ekonomi India dijangka perlahan, antara 6 peratus dengan 6.5 peratus pada tahun fiskal yang berakhir Mac 2025, berbanding 8.2 peratus pada 2024.

Bagi Asia Tenggara, keadaan berbeza-beza.

Singapura dijangka mencatatkan pertumbuhan yang baik, dengan ramalan pertumbuhan GDP sebenar negara akan berada antara 1 peratus dengan 3 peratus pada 2025, turun daripada 4 peratus pada 2024.

Malaysia dijangka kekal kukuh, dengan penganalisis meramalkan pertumbuhan GDP sekurang-kurangnya 5 peratus, didorong oleh pelaburan asing.

Tinjauan bagi Indonesia pula tidak pasti, walaupun pertumbuhan jangka panjang dijangka sekitar 5 peratus, kata Encik Gupta.

Sumber kekuatan utama ekonomi global datang dari Amerika. Jualan runcit masih kukuh... inflasi tinggi, tetapi data gaji tinggi dan pekerjaan sedang dicipta.
Encik Piyush Gupta, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS Bank.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg