Hampir 40 peratus syarikat di Singapura alami “impak minimum” akibat kenaikan cukai karbon, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Tenaga Mampan Singapura (Seas).
Sebilangan kecil syarikat berkata kenaikan cukai karbon, yang dilaksanakan pada Januari 2024, mendorong mereka mempertimbangkan semula strategi jangka panjang mereka.
Hampir 20 peratus menunjukkan mereka meningkatkan usaha kurangkan pelepasan karbon dan melabur dalam teknologi cekap tenaga.
Namun, tinjauan yang melibatkan 250 karyawan industri juga dapati hanya 3.8 peratus sahaja yang membeli kredit karbon – menunjukkan bahawa kenaikan cukai sahaja tidak mencukupi untuk syarikat membeli kredit karbon, lapor The Business Times.
Kadar cukai karbon Singapura naik dari $5 setiap tan karbon dioksida kepada $25 setiap tan mulai 1 Januari 2024.
Ia akan dinaikkan kepada $45 setiap tan pada 2026 dan 2027, dengan rancangan meningkatkan harga dengan anggaran $50 ke $80 menjelang 2030.
Secara keseluruhan, hanya 24.5 peratus responden berasa bahawa sistem cukai karbon di Singapura berkesan.
Ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk penambahbaikan dan penilaian impak selanjutnya untuk tingkatkan keberkesanannya, kata Seas.
Selain cukai karbon, responden juga ditinjau tentang kadar peralihan tenaga di Singapura dan rantau Asean.
Walaupun 45.9 peratus responden berasa kemajuan Singapura memuaskan, sekitar 32.5 peratus mengatakan bahawa lebih banyak penambahbaikan diperlukan bagi penuhi sasaran sifar karbon 2050 Singapura.
Responden percaya bahawa pemacu utama penyahkarbon ialah dasar pemerintah dan insentif ekonomi.
Tinjauan itu juga menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga bersih daripada syarikat teknologi besar.
Kebergantungan kepada gas asli, hambatan dalam perjanjian rentas sempadan, serta ketidaktentuan pasaran tenaga yang diperketatkan disebut sebagai halangan terbesar bagi Singapura.
Cabaran utama yang dihadapi Singapura dalam perjalanan nyahkarbon adalah ruang terhad untuk infrastruktur, kos dan pelaburan yang tinggi dan cara terhad untuk mengimbangi pelepasan karbon.
Majoriti percaya bahawa sistem perdagangan karbon akan berkesan dalam mempercepatkan kadar nyahkarbon, namun 32 peratus berasa ragu-ragu.
Ini menunjukkan bahawa terdapat juga kebimbangan atau keraguan yang perlu ditangani untuk memastikan penerimaan meluas dan kejayaan sistem perdagangan karbon.
Mewujudkan sistem perakaunan karbon yang komprehensif dan boleh dipercayai dan rangka kerja kawal selia yang telus, serta mekanisme penetapan harga karbon yang kompetitif dan menarik dilihat sebagai kritikal untuk Singapura menjadi hab utama perdagangan karbon.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg