Singapura sedang giat mencari huraian dan teknologi baru untuk meningkatkan kecekapan tenaga bangunan sebagai langkah mempercepat usaha penyahkarbonan dalam sektor alam bina.
Pada 6 September, Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah, mengumumkan pelancaran kajian perundingan bagi mengenal pasti strategi penyahkarbonan inovatif yang berdaya maju dari segi teknikal dan komersial.
Kajian ini akan memberi fokus kepada bangunan pejabat bertingkat tinggi, hotel dan pembangunan guna campur.
Kajian enam bulan ini akan merangkumi simulasi tenaga untuk menilai tahap penambahbaikan kecekapan tenaga bagi setiap strategi penyahkarbonan.
Selain itu, ia turut merangkumi analisis kos-faedah dan keselesaan terma, serta mengenal pasti halangan dan pertimbangan utama dalam pelaksanaan strategi dan teknologi yang dicadangkan.
Pelan Induk Bangunan Hijau Singapura 2023 menyasarkan untuk membantu bangunan hijau mencapai peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 80 peratus berbanding tahap 2005.
Matlamat lain termasuk menghijaukan 80 peratus bangunan di Singapura dan memastikan 80 peratus bangunan baru menjadi bangunan tenaga rendah, dengan peningkatan kecekapan tenaga sekurang-kurangnya 60 peratus daripada tahap 2005.
“Kini, bangunan hijau terbaik dapat mencapai peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 72 peratus berbanding tahap 2005,” kata Cik Indranee, lapor The Business Times.
“Cabaran kita sekarang adalah bagaimana untuk melangkaui pencapaian ini,” tambahnya semasa menyampaikan Anugerah Penguasa Bangunan dan Binaan pada persidangan Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa.
Sebanyak 21 anugerah telah diberikan kepada syarikat yang diiktiraf dalam sektor alam bina atas usaha proalam sekitar dan kemampanan mereka.
Menurut Cik Indranee, firma perunding yang berpengalaman dan pakar dalam pemodelan serta simulasi tenaga digalakkan untuk “mengambil bahagian secara aktif” dan “meluaskan batasan” dalam usaha kemampanan negara ini.
Firma-firma perunding ini akan bekerjasama dengan pemilik bangunan atau pemaju yang bersedia menawarkan bangunan mereka sebagai kajian kes.
Perunding kemampanan alam sekitar, jurubina, serta jurutera mekanikal dan elektrik turut terlibat dalam kerjasama ini. Matlamat utama adalah untuk mencari strategi dan teknologi yang boleh meningkatkan kecekapan tenaga bagi bangunan terpilih sebanyak 80 peratus.
Maklumat daripada kajian ini akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan dalam industri untuk aplikasi yang lebih meluas, ujar Cik Indranee.
Selain mengumumkan kajian perundingan tersebut, beliau juga memberi maklumat terkini mengenai Dana Kecekapan Tenaga (EEG), yang kini diperluaskan untuk mencakupi lebih banyak sektor seperti perkilangan, pembinaan, maritim dan pusat data.
Pada 2022, dana ini diperkenalkan kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan makanan dan peruncitan. Dalam Bajet 2024, pemerintah mengumumkan sokongan yang lebih meluas kepada syarikat yang mempunyai rancangan komprehensif bagi mengurangkan pengeluaran karbon mereka.
Melalui EEG, firma pembinaan yang layak akan menerima sehingga 70 peratus pembiayaan bagi peralatan pembinaan cekap tenaga.
Terdapat dua peringkat sokongan: peringkat asas yang dihadkan pada S$30,000 bagi setiap firma dan peringkat lanjutan dengan had S$350,000 untuk syarikat yang membuat pelaburan besar dalam kecekapan tenaga.
Cik Indranee turut menyatakan bahawa sejak pengumuman dana ini pada Februari lalu, agensi berkaitan telah berunding dengan pihak industri dan pakar bagi mengenal pasti peralatan utama yang mampu memberikan impak terbesar dalam “menghijaukan” proses pembinaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg