Hampir 60 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pelabur sedunia menjangkakan kadar pengunduran penyejagatan akan dipercepatkan dalam tempoh setahun mendatang, menurut tinjuan firma perunding sejagat, Teneo, yang dikeluarkan pada 15 Disember.
Tinjauan Visi 2026: Pandangan CEO dan Pelabur, melibatkan 350 CEO sedunia dan 400 pelabur institusi, yang mewakili nilai syarikat dan portfolio melebihi AS$19 trilion ($25 trilion).
Pengunduran penyejagatan merujuk kepada pengurangan perdagangan antarabangsa, pelaburan serta pergerakan manusia merentas sempadan.
Trend ini, yang dipacu oleh tarif yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, awal 2025 serta peralihan keutamaan negara ke arah keselamatan nasional, bakal memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan sedunia berikutan peningkatan perlindungan perdagangan dan halangan dagangan.
Bagaimanapun, pandangan mengenai kadar pengunduran penyejagatan atau pengurangan tahap saling kebergantungan global berbeza mengikut rantau, lapor The Business Times (BT).
CEO di Asia-Pasifik (Apac) serta Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena) melihat fenomena ini berlaku dengan lebih perlahan, manakala pemimpin Amerika Latin merasakan ia semakin dipercepatkan.
Menurut Ketua Penasihat Kewangan Teneo bagi Amerika Latin, Encik Juan José Perojo, perbezaan ini berpunca daripada kedudukan setiap rantau dalam penyusunan semula rantaian bekalan global.
Beliau berkata eksekutif di Amerika Latin merasai kesan pengunduran penyejagatan dengan lebih ketara kerana rantau itu terlibat secara langsung dalam pelarasan semula rantaian bekalan Amerika Syarikat dan Eropah.
“Pemindahan operasi ke negara berdekatan, komoditi dan pelaburan peralihan tenaga mewujudkan peluang dan risiko, sekali gus mempercepat perubahan struktur,” tambah Encik Perojo.
Sebaliknya, eksekutif di Apac dan Mena mungkin mengalami tekanan yang sama tetapi dengan tahap perlindungan tertentu.
Mena menikmati aliran pelaburan kukuh hasil pembangunan pemerintah dan peralihan tenaga, sementara Apac kekal dengan perdagangan serantau yang mantap walaupun rantaian bekalan sejagat berubah.
Laporan itu turut menyatakan Amerika kekal sebagai pasaran pelaburan paling menarik bagi CEO dan pelabur sedunia, didorong dasar yang menyokong pertumbuhan, termasuk kemajuan teknologi dan penyelarasan peraturan.
Pada masa sama, India dan China dikenal pasti sebagai destinasi pelaburan yang semakin meningkat.
CEO sedunia menjangkakan India akan setanding, malah bakal mengatasi China dari segi kepentingannya terhadap strategi perniagaan menjelang 2036, disokong pasaran pengguna yang besar dan muda serta pertumbuhan prasarana digital.
Walaupun begitu, China dijangka kekal sebagai teras kepada strategi perniagaan dan pelaburan jangka panjang, dengan kekuatan kelas pertengahan, skala rantaian bekalan serta pelaburan penyelidikan dan pembangunan yang masih tiada tandingan.
Tinjuan Teneo turut mendapati kecerdasan buatan (AI) bakal menjadi bidang pelaburan paling pesat berkembang pada 2026, dengan kebanyakan CEO merancang meningkatkan perbelanjaan dalam bidang tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg