Harga rumah privet yang mahal dan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) sedia ada menjadi sebab utama ramai tidak dapat menaik taraf ke rumah privet, menurut satu tinjauan agensi hartanah PropNex yang dikeluarkan pada 22 Julai.
Walaupun hampir separuh daripada responden dalam tinjauan itu menyimpan impian berpindah dari flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka ke rumah privet, sekitar 64 peratus daripada 1,250 pemilik flat HDB yang ditinjau itu berkata, harga rumah terlalu mahal menghalang mereka berpindah ke rumah privet.
Anggaran awal daripada indeks harga hartanah Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menunjukkan bahawa secara keseluruhan, harga rumah privet meningkat selama tujuh tahun berturut-turut, melonjak sekitar 51 peratus secara kumulatif dari suku pertama 2017 hingga suku kedua 2024, lapor The Business Times (BT).
Sekitar 32 peratus responden menyebut langkah mengenakan ABSD sebagai halangan utama.
Ia memerlukan pemilik flat HDB yang berpindah ke rumah privet membuat bayaran ABSD sebanyak 20 peratus terlebih dahulu, sebelum memohon pelepasan ABSD, tertakluk kepada syarat tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Abdul Gafoor, mencadangkan agar pemerintah mempertimbang menyamakan keperluan pembayaran ABSD untuk pemilik flat yang ingin berpindah ke rumah privet, seperti mereka yang ingin membeli kondominium eksekutif (EC) baru daripada pemaju.
Beliau menyatakan bahawa pemilik flat HDB yang membeli EC tidak perlu membayar ABSD, yang besar jumlahnya, terlebih dahulu.
Sebaliknya, mereka boleh terus tinggal di flat sedia ada mereka, dan hanya perlu menjual flat itu enam bulan selepas EC baru berkenaan memperoleh Permit Penginapan Sementara (TOP).
Responden tersebut turut menyatakan sebab lain yang menghalang mereka membeli rumah privet.
Ini termasuk mempunyai komitmen kewangan lain, keadaan keluarga, dan masih menjalani Tempoh Penginapan Minimum (MOP) lima tahun.
Sekitar satu perempat responden berkata harga bagi pelancaran baru projek kediaman privet (26 peratus) dan rumah privet jualan semula (23 peratus) adalah “sangat tidak dimampui”.
Sekitar 40 peratus responden berkata kededua pilihan perumahan itu “tidak dimampui”.
Dengan harga flat jualan semula HDB terus meningkat sejak beberapa tahun lalu, kira-kira 33 peratus responden berkata harga flat tersebut juga “tidak dimampui”.
Flat baru Bina Ikut Tempahan (BTO) terus menjadi pilihan perumahan paling mampu milik, dengan kira-kira 32 peratus responden berkata harganya “berpatutan”.
“Adalah munasabah untuk mengatakan bahawa flat HDB adalah perumahan utama di Singapura dan akan terus menjadi rumah bagi kebanyakan penduduk di sini,” ujar Encik Ismail.
“
“Adalah munasabah untuk mengatakan bahawa flat HDB adalah perumahan utama di Singapura dan akan terus menjadi rumah bagi kebanyakan penduduk di sini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg