Secara umum, kebanyakan warga Singapura mengambil berat tentang isu alam sekitar, walaupun mereka lebih mengutamakan keperluan segera mereka.
Warga Singapura berpendapat bahawa syarikat berperanan dalam isu sekitaran, sosial dan pengawalan (ESG) perlu mempertingkatkan usaha mereka dalam masyarakat, menurut laporan pemantauan ESG oleh kumpulan komunikasi dan advokasi yang berpangkalan di Milan, SEC Newgate, pada 16 Oktober.
Laporan yang meninjau seramai 1,022 responden itu mendapati lebih tiga perempat responden menganggap peralihan syarikat kepada sumber tenaga bersih atau boleh diperbaharui, dan bertindak tegas dalam isu perubahan iklim sebagai penting untuk masa depan negara.
Namun, kebimbangan utama warga Singapura masih tertumpu kepada isu menangani peningkatan kos sara hidup, memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti serta mampu milik, serta memastikan bekalan makanan yang selamat serta berpatutan.
Pengarah urusan penyelidikan SEC Newgate Australia, Cik Sue Vercoe, berkata: “Walaupun (warga Singapura) mempunyai kebimbangan mendesak lain dalam kehidupan harian mereka, kebanyakan mereka masih melihat isu alam sekitar, sosial dan pengawalan sebagai penting untuk ditangani.”
Laporan itu juga mendapati bahawa fungsi teras perniagaan tetap menjadi antara keutamaan penting yang warga Singapura rasa perlu diberi tumpuan oleh syarikat.
Menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pula, disenaraikan sebagai keutamaan paling penting untuk perniagaan, dengan 81 peratus responden menilainya dengan markah tujuh dan ke atas daripada 10, dari segi kepentingan.
Sebaliknya, isu alam sekitar, sosial dan politik berada di antara lima keutamaan terendah yang responden anggap perlu diberi tumpuan oleh syarikat, lapor The Business Times.
Lebih 70 peratus responden juga bersetuju bahawa syarikat harus berkomunikasi secara jelas tentang perkara yang telah mereka lakukan untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan, serta meningkatkan prestasi mereka dalam isu berkaitan ESG.
Dalam aspek pelaburan, faktor kewangan menjadi pertimbangan utama warga Singapura tetapi masalah berkaitan etika dan alam sekitar juga dianggap sangat penting.
Responden menilai prospek pertumbuhan syarikat dan jangkaan pulangan kewangan, sebagai pemacu utama di sebalik keputusan pelaburan mereka, tetapi lebih separuh berkata mereka akan menjual pelaburan mereka dalam syarikat jika ia terlibat dalam masalah tingkah laku atau amalan tidak beretika.
Syarikat juga mesti bersedia untuk menghadapi pemerhatian dan pemantauan orang awam kerana 55 peratus responden menyatakan bahawa greenwashing, atau dakwaan palsu oleh syarikat yang produk mereka mesra alam, adalah masalah besar di Singapura, dan dua daripada lima mengatakan mereka tidak mempercayai dakwaan perniagaan tentang aktiviti dan prestasi ESG mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg