Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Keseimbangan hidup-kerja keutamaan pekerja S’pura

Ciri paling dihargai selama tiga tahun berturut-turut, atasi gaji, keselamatan kerja
Jun 25, 2025 | 5:19 PM
Keseimbangan kehidupan-kerja juga menjadi motivasi utama bagi pekerja untuk menukar pekerjaan, menurut tinjauan agensi perekrutan, Randstad Singapura.
Keseimbangan kehidupan-kerja juga menjadi motivasi utama bagi pekerja untuk menukar pekerjaan, menurut tinjauan agensi perekrutan, Randstad Singapura. - Foto BT

Keseimbangan kehidupan dan kerja kekal menjadi keutamaan bagi pekerja apabila mempertimbangkan majikan ideal, menurut laporan, Employer Brand Research, edisi terbaru yang dikeluarkan oleh agensi perekrutan, Randstad Singapura, pada 25 Jun. 

Ia menjadi ciri paling dihargai selama tiga tahun berturut-turut, mengatasi aspek gaji dan keselamatan pekerjaan, berdasarkan tinjauan agensi pengambilan pekerja terhadap 2,522 individu dewasa yang bekerja di Singapura, lapor The Business Times (BT).

Pengarah Negara, Randstad Singapura, Encik David Blasco, berkata: “Dengan pakej gaji dan faedah yang kini sangat berdaya saing, keseimbangan kehidupan-kerja muncul sebagai pembeza penting dalam menarik dan mengekalkan bakat terbaik.”

Dua ciri itu konsisten dalam kalangan generasi, sama ada Generasi Z (Gen Z) yang berumur antara 18 dengan 28 tahun; milenial (antara 29 dengan 44 tahun); atau Gen X (antara 45 dengan 60 tahun). 

Namun, Gen Z dan milenial lebih mementingkan perkembangan kerjaya berbanding keselamatan pekerjaan.

Keseimbangan kehidupan-kerja juga menjadi pendorong utama bagi pekerja untuk menukar pekerjaan. 

Antara responden yang telah menukar atau merancang menukar pekerjaan, 41 peratus daripada mereka ingin meningkatkan keseimbangan kehidupan-kerja mereka. 

Ini diikuti oleh 36 peratus yang bimbang tentang gaji rendah dan kos sara hidup yang kian meningkat, serta 33 peratus yang mahu lebih banyak peluang perkembangan kerjaya.

Mempunyai keseimbangan kehidupan-kerja yang baik juga menjadi sebab utama bagi responden terdorong dan terlibat sama di tempat kerja, seperti yang dinyatakan 41 peratus daripada mereka yang ditinjau.

Ini diikuti oleh peluang pertumbuhan, promosi, dan pembangunan (37 peratus), serta jumlah kerja yang boleh diurus (36 peratus).

Sementara itu, sebab utama responden kurang bermotivasi adalah keinginan untuk mendapatkan gaji lebih tinggi atau faedah lebih baik (45 peratus); diikuti dengan kekurangan pengiktirafan atau penghargaan terhadap kerja mereka (41 peratus), serta rasa tidak dihargai serta kurang sokongan daripada pengurus atau rakan sekerja (35 peratus).

Encik Blasco menekankan bahawa “detik-detik kecil, seperti rasa selesa untuk berkongsi pandangan berbeza, peluang untuk membangunkan kemahiran baru, atau sekadar menikmati masa bersama rakan sekerja, sebenarnya meningkatkan penglibatan”. 

Ini mencipta suasana positif di tempat kerja dan mengurangkan kemungkinan pekerja menukar pekerjaan.

Walaupun keseimbangan kehidupan-kerja adalah antara tiga pendorong utama dalam semua kumpulan usia, milenial meletakkannya sebagai faktor pendorong utama mereka, dengan 44 peratus memilihnya. 

Gen Z lebih terdorong oleh peluang perkembangan kerjaya (37 peratus), manakala Gen X lebih mengutamakan jumlah kerja yang boleh diurus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg