Keseimbangan yang tepat antara kerja dengan kehidupan berbeza bagi setiap individu, dan tidak kira pilihan yang dibuat, pasti ada sesuatu yang perlu dikorbankan.
Demikian antara perkongsian anggota panel dalam satu perbincangan mengenai mencari kerjaya yang sesuai pada 5 Disember.
Acara tersebut dianjurkan thrive, inisiatif The Business Times bagi golongan muda.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) peruncit fesyen tempatan, Love, Bonito, Cik Dione Song, berkata keseimbangan antara kerja dengan kehidupan merupakan satu konsep yang lapuk.
Justeru, orang ramai digalak membangunkan penyepaduan kerja-kehidupan, meskipun gerakan masa kini lebih menekankan pemisahan jelas antara kerja dengan kehidupan peribadi.
“Kerja sepatutnya menjadi tempat… anda boleh menjadi diri sendiri yang sebenar,” tambah Cik Song, 36 tahun.
“Jika anda rasa anda perlu menjadi orang lain, maka itu bukan organisasi yang sesuai untuk anda.”
Kira-kira 100 orang hadir di Perpustakaan Negara untuk mendengar perkongsian anggota panel mengenai perjalanan kerjaya mereka dan cara mencari makna dalam pekerjaan.
Perkongsian tersebut diikuti sesi menjalin rangkaian, apabila hadirin diberi peluang bergaul bersama anggota panel dan tetamu lain sambil menikmati makanan dan minuman ringan.
Anggota panel terdiri daripada Cik Song; peguam, penyair dan penulis drama, Cik Amanda Chong; serta Ketua jabatan pembangunan manusia dan organisasi di Stroke Support Station, Encik Khairul Mohd Khair.
Cik Song berkata adalah “kuno” untuk melihat kerja dan kehidupan sebagai dua perkara berasingan yang perlu diimbangi.
Beliau kemudian menyentuh tentang kritikan dalam talian yang diterimanya setelah berkongsi tentang keseimbangan antara kerja dengan kehidupan dalam wawancara media sebelum ini.
Beliau menegaskan bahawa ramai yang membina persahabatan seumur hidup di tempat kerja, yang melangkaui batas antara kehidupan kerja dengan peribadi mereka.
Cik Vivien Shao, editor audiens muda BT yang juga moderator perbincangan, Cik Vivien Shao, bertanya kepada anggota panel sama ada keseimbangan sebenar antara kerja dengan kehidupan boleh dicapai.
Encik Khairul, yang ketuai jabatan pembangunan manusia dan organisasi di badan bukan mencari keuntungan, Stroke Support Station, berkata perdebatan mengenai keseimbangan antara kerja dengan kehidupan menjadi rumit kerana orang ramai mahu segalanya dalam hidup mereka.
Hakikatnya, pengorbanan perlu dibuat dan setiap individu perlu tahu keutamaan mereka, tambahnya.
“Adakah saya akan bekerja 14 jam sehari kerana saya bersemangat dengan peranan saya?
“Atau adakah saya akan berkata saya hanya memberikan lapan jam untuk kerja kerana saya ingin masa selebihnya untuk melakukan perkara yang saya suka bersama orang yang saya cintai?” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa mereka yang menetapkan had yang jelas tentang masa kerja tidak patut mengeluh jika orang lain yang bekerja lebih keras dinaikkan pangkat terlebih dahulu semasa penilaian prestasi.
Cik Chong pula mengakui kekurangan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan dalam dirinya sendiri.
Ini kerana beliau hanya tidur antara 3 dengan 4 pagi setiap malam untuk mengekalkan dua kerjayanya – sebagai pengarah dan timbalan peguam kanan negara di Pejabat Peguam Negara pada waktu siang dan sebagai seniman pada waktu malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg