Lebih ramai rakyat Singapura melabur dan berusaha mencapai matlamat pelaburan mereka, dengan aset pendapatan tetap seperti Bil Perbendaharaan (T-bill) memainkan peranan besar, menurut tinjauan oleh OCBC.
Menurut Indeks Kesejahteraan Kewangan tahunan bank yang dikeluarkan pada 14 November, bilangan responden yang melabur meningkat 9 peratus kepada 88 peratus.
Di antara mereka yang melabur, peratusan pendapatan mereka yang dikhaskan untuk pelaburan juga meningkat 10 peratus kepada 26 peratus.
Ini berlaku apabila skor Indeks Kesejahteraan Kewangan 2024 meningkat satu mata kepada 61 mata, menunjukkan ia seiring dengan pertumbuhan ekonomi, lapor The Business Times.
Tetapi kajian itu juga mendedahkan beberapa trend yang membimbangkan, termasuk perancangan persaraan yang lemah dalam kalangan ‘Dink’, singkatan bagi ‘Dual Income, No Kids’ (Dua Pendapatan, Tiada Anak) dan kecenderungan berbelanja berlebihan dalam kalangan golongan muda.
Kajian tahunan OCBC terhadap kira-kira 2,000 dewasa berusia 21 hingga 65 tahun menilai kesejahteraan kewangan rakyat Singapura.
Sekitar 43 peratus responden yang melabur, memegang sekuriti pendapatan tetap dan bon, seperti bon pemerintah Singapura, T-bill dan bon korporat.
Ini peningkatan 5 peratus berbanding pada 2023.
Tiga sumber utama pendapatan pasif mereka adalah dividen daripada pelaburan ekuiti, pendapatan faedah daripada sekuriti pendapatan tetap dan pendapatan sewa.
Secara keseluruhan, 44 peratus pelabur mengatakan mereka mampu mencapai matlamat pelaburan mereka, meningkat 4 peratus berbanding pada 2023.
Namun pulangan purata pelaburan turun kepada 0.1 peratus pada 2024, berbanding 0.4 peratus pada 2023.
Tinjauan itu mendapati bahawa rakyat Singapura berusia 20-an, yang dikenali sebagai generasi Z dan milenium muda – semakin berbelanja di luar kemampuan mereka untuk bersaing dengan rakan sebaya.
Kira-kira 27 peratus rakyat Singapura dalam kumpulan umur ini melakukannya, berbanding 19 peratus pada 2023.
OCBC berkata ini mungkin disebabkan kecenderungan mereka untuk “menikmati kehidupan masa nyata”.
Sekitar 41 peratus yang berusia 20-an membuat pembelian spontan seperti tiket konsert, tiket kapal terbang dan membeli-belah dalam talian.
OCBC juga mendapati bahawa golongan Dink – mereka yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak – kurang bersedia untuk bersara berbanding mereka yang merupakan ibu bapa.
Golongan Dink menunjukkan prestasi lebih teruk berbanding ibu bapa dalam perancangan persaraan, pendapatan pasif tetap dan memastikan tanggungan dijaga selama 12 bulan jika berlaku kematian.
Golongan ini mungkin tidak merasakan ia satu keperluan untuk merancang jangka panjang kata OCBC.
Namun, golongan Dink menunjukkan prestasi lebih baik berbanding ibu bapa dalam 16 daripada 24 petunjuk, terutamanya dalam pengurusan hutang dan krisis.
Cik Tan Siew Lee, ketua pengurusan kekayaan OCBC, berkata kesejahteraan kewangan lebih daripada sekadar jumlah wang yang dimiliki seseorang.
OCBC juga mencatatkan bahawa perancangan persaraan adalah salah satu petunjuk paling lemah sejak indeks tersebut dilancarkan pada 2019.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg