Di kalangan mereka yang mengikuti aturan kerja fleksibel, kaum lelaki lebih berkemungkinan berasa diri mereka terlepas pandang untuk kenaikan pangkat berbanding wanita, demikian menurut satu tinjauan.
Lebih satu pertiga – 36 peratus – lelaki di sini yang bekerja fleksibel berkata mereka pernah mengalami perkara tersebut, berbanding 27 peratus wanita yang bekerja fleksibel.
Ekuiti dan kesaksamaan juga menjadi kebimbangan majikan, dengan 31 peratus pemimpin perniagaan yang menawarkan kerja fleksibel mengatakan bahawa satu kesan negatif kerja fleksibel dalam pengalaman syarikat mereka ialah peruntukan peluang pembangunan dan kemajuan yang tidak adil.
Dalam kalangan ibu bapa, kira-kira 20 peratus lelaki dilaporkan menerima tindak balas negatif daripada penyelia atau pengurusan kanan mereka kerana mengambil cuti jaga anak, berbanding kira-kira 10 peratus wanita.
Ini antara dapatan tinjauan oleh pertubuhan bukan meraih untung SG Her Empowerment (SHE), dengan kerjasama firma penyelidikan pasaran Milieu Insight.
Sejumlah 1,200 pekerja bermastautin Singapura – termasuk 510 pemimpin perniagaan – ditinjau pada Mei dan Jun 2024.
“Memiliki aturan kerja fleksibel tidak secara automatik sama dengan kadar penerimaannya kerana pemikiran jantina tertanam secara mendalam yang memberi kesan kepada norma, tingkah laku dan pilihan di tempat kerja,” kata SHE dalam laporan tinjauan yang diterbitkan 22 Julai.
“Sebagai contoh, wanita yang menggunakan dasar ini mungkin kurang bernasib baik kerana mereka dilihat sebagai kurang komited atau bercita-cita tinggi, manakala lelaki yang mencari fleksibiliti mungkin menghadapi stigma kerana meninggalkan peranan pencari nafkah tradisional.”
Tinjauan mendapati, 35 peratus responden berpendapat bapa atau lelaki harus menjadi pencari nafkah keluarga, manakala 3 peratus memilih ibu atau wanita. Majoriti berkata kedua-dua pihak boleh memainkan peranan itu.
Apabila ditanya siapa yang harus berundur daripada kerjaya mereka jika keadaan keluarga memerlukannya, 27 peratus responden memilih ibu atau wanita, manakala hanya 4 peratus memilih bapa atau lelaki; selebihnya berkata tanggungjawab harus dikongsi sama rata.
Dapatan ini konsisten merentas generasi, kata SHE dalam laporannya.
Aturan kerja fleksibel menjadi perhatian lebih awal pada 2024, apabila pemerintah mengumumkan garis panduan tiga pihak baharu yang mewajibkan majikan mempertimbangkan secara adil permintaan rasmi bagi pengaturan kerja sedemikian mulai 1 Disember.
Ahli panel dalam acara oleh SHE pada 22 Julai membincangkan cara untuk lebih ramai pekerja lelaki dan wanita serta majikan, melaksanakan aturan kerja fleksibel sebagai norma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg