Tinjauan: Sentimen pengambilan pekerja S’pura kembali meningkat
Tinjauan: Sentimen pengambilan pekerja S’pura kembali meningkat
Sentimen pengambilan pekerja dalam kalangan majikan di Singapura meningkat bagi suku kedua 2026, setelah merosot selama dua suku berturut-turut, menurut Tinjauan Prospek Pekerjaan oleh ManpowerGroup yang diterbitkan pada 10 Mac.
Bagi suku ini, beberapa majikan mencatat kenaikan dalam sentimen pengambilan pekerja, yang diukur menerusi metrik prospek pengambilan pekerja bersih (net employment outlook).
Metrik ini mengukur perbezaan antara peratusan majikan yang merancang menambah pekerja dengan mereka yang merancang mengurangkan pekerja.
Data ini diperoleh daripada tinjauan terhadap lebih 530 majikan di Singapura, yang dijalankan dari 1 Januari hingga 3 Februari sebelum tercetusnya perang terkini di Timur Tengah.
Prospek pengambilan pekerja bersih yang diselaraskan mengikut musim bagi suku kedua berada pada 24 peratus, meningkat 10 mata berbanding suku sebelumnya.
Namun, ia turun tiga mata berbanding tempoh sama pada 2025, ketika majikan menjangkakan perubahan pada bilangan pekerja sejajar dengan rancangan peluasan syarikat.
Sebanyak 45 peratus majikan melaporkan rancangan untuk menambah bilangan pekerja antara April dengan Jun.
Sementara itu, 21 peratus majikan menjangkakan pengurangan bilangan pekerja dan 33 peratus merancang mengekalkan bilangan sedia ada, menurut ManpowerGroup.
Pengurus negara ManpowerGroup Singapore, Cik Linda Teo, berkata peningkatan sentimen pengambilan pekerja bagi suku kedua mencerminkan usaha majikan menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang semakin berubah.
“Walaupun sebahagian besar momentum ini didorong oleh syarikat yang meluaskan operasi ke bidang baru, organisasi juga giat mencari kemahiran baru untuk mengekalkan kelebihan daya saing mereka,” kata Cik Teo.
Beliau menekankan bahawa pencarian kemahiran baru amat ketara dalam sektor maklumat:
“Perkembangan teknologi mewujudkan permintaan terhadap kepakaran baru dan menyokong hasrat pengambilan pekerja yang lebih kukuh apabila syarikat memperdalam tumpuan mereka terhadap transformasi berasaskan teknologi dan pembinaan keupayaan masa depan.”
Sentimen pengambilan pekerja paling tinggi dicatatkan dalam sektor maklumat, yang mencatat prospek pengambilan pekerja bersih sebanyak 41 peratus, meningkat 18 mata berbanding suku sebelumnya dan 16 mata berbanding tempoh sama pada 2025.
Ini diikuti oleh sektor pembinaan dan hartanah, dengan prospek pengambilan pekerja bersih sebanyak 39 peratus, manakala sektor perkilangan mencatat 26 peratus.
Namun, sektor utiliti dan sumber asli mencatat prospek pengambilan pekerja bersih sebanyak negatif 11 peratus.
Walaupun terdapat peningkatan suku ke suku, sentimen pengambilan pekerja di Singapura masih lebih rendah berbanding purata sejagat, menurut tinjauan ManpowerGroup yang turut dijalankan ke atas lebih 41,700 majikan di serata 42 negara.
Di peringkat sejagat, prospek pengambilan pekerja bersih bagi suku kedua berada pada 31 peratus, dengan 45 peratus majikan melaporkan rancangan untuk menambah bilangan pekerja antara April hingga Jun, manakala 13 peratus menjangkakan pengurangan pekerja, kata ManpowerGroup.
Sentimen pengambilan pekerja paling tinggi dicatatkan di India, yang mencatat prospek pengambilan pekerja bersih suku kedua tertinggi di peringkat sejagat, iaitu 68 peratus.
Ini diikuti Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebanyak 60 peratus dan Brazil sebanyak 55 peratus.
Singapura mendahului dunia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk strategi tenaga kerja, namun manfaat teknologinya tidak seragam.
Lebih empat daripada lima majikan di Singapura (82 peratus) sudah mengaplikasi AI dalam proses pengambilan, penyesuaian tugas, atau latihan pekerja baru.
Peratusan ini mengatasi purata Asia-Pasifik dan Timur Tengah (81 peratus), malah melangkaui purata global (67 peratus).
Walau bagaimanapun, meskipun AI diguna pakai secara meluas, hanya 4 peratus majikan mendapati penyelesaian AI semasa memenuhi jangkaan mereka.
Sebanyak 23 peratus mengatakan penyelesaian AI menunjukkan penilaian kemahiran insani (soft-skills) yang kurang tepat, manakala 22 peratus pula berpendapat teknologi itu gagal mengajar kemahiran praktikal atau membuat pertimbangan yang jitu.
Selain itu, hampir satu per lima (18 peratus) majikan memilih untuk tidak menggunakan AI dalam proses pengambilan, penyesuaian tugas, atau latihan pekerja baru.

