Pekerjaan dan kesejahteraan pekerja dijangka menjadi antara tumpuan pemerintah dan majikan pada 2026, dengan pemerhati menjangka pertumbuhan ekonomi lebih perlahan.
Namun Singapura memulakan 2025 bersandar kekuatan ekonomi dan landskap pekerjaan dan pendapatan yang stabil.
• Ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura 2025 dinaikkan
Meski masih dibelenggu ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan perdagangan, Singapura menaikkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2025 kepada sekitar 4 peratus – lebih tinggi berbanding ramalan pertumbuhan 1.5 hingga 2.5 peratus pada Ogos.
Ini setelah ekonomi negara ini mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan.
Menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), pemulihan tersebut turut disokong sektor perkilangan, yang kembali berkembang 16.1 peratus pada September selepas penurunan pada Ogos.
Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi itu dijangka perlahan pada 2026 akibat kesan tarif Amerika Syarikat.
• Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus oleh Amerika
Singapura tidak terkecuali daripada tarif Amerika, dengan negara ini dikenakan kadar asas sebanyak 10 peratus selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan satu set tarif sejagat pada 2 April.
Dalam sidang Parlimen pada 8 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mungkin atau mungkin tidak mengalami kemelesetan ekonomi pada 2025, namun pertumbuhan pasti akan terjejas dengan ketara.
Sementara itu, Encik Trump pada 25 September turut mengumumkan tarif 100 peratus ke atas import produk farmaseutikal berjenama atau dilindungi paten, melainkan syarikat tersebut sedang membina kilang pengeluaran di Amerika.
Tarif tersebut sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Oktober, tetapi telah ditangguhkan untuk memberi masa kepada syarikat farmaseutikal untuk merundingkan pengecualian dengan pentadbiran Amerika.
• Pembentukan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura
Dalam usaha membantu perniagaan dan pekerja tempatan mengharungi ketidaktentuan yang tercetus oleh tarif meluas yang dikenakan Amerika, Singapura membentuk Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) pada April.
Diterajui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pasukan tersebut memberi tumpuan pada tiga bidang utama – perhubungan berterusan, menangani cabaran semasa dan membangunkan strategi jangka panjang.
Penubuhan pasukan petugas itu kali pertama diumumkan Perdana Menteri, Encik Wong, pada 8 April, berikutan tarif asas 10 peratus yang dikenakan Amerika.
Pada Ogos, Encik Gan mengumumkan pemerintah akan memulakan langkah menyemak strategi ekonomi Singapura, dengan lima jawatankuasa baru dibentuk bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara.
Lima jawatankuasa tersebut memberi tumpuan dalam bidang daya saing sejagat; teknologi dan inovasi; keusahawanan; modal insan; dan mengendalikan kesan penyusunan semula.
• Pemeteraian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
Pada 7 Januari 2025, Singapura dan Malaysia menandatangani perjanjian untuk membentuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang melakar secara luas pembentukan kawasan perniagaan dan pelaburan di bahagian selatan Johor.
Sejak Januari 2024, syarikat berpangkalan di Singapura telah memberi komitmen lebih $5.5 bilion dalam pelaburan di zon tersebut.
Satu komponen penting zon tersebut adalah Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang akan membantu melancarkan perjalanan warga dari kedua-dua belah seberang Tambak.
Pada 4 Disember, Singapura dan Malaysia menandatangani satu perjanjian yang akan memudahkan persiapan bagi kemudahan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin di satu lokasi sama dan operasi sistem rel itu kelak.
• Pendapatan sebenar di Singapura meningkat
Berita baik buat pekerja Singapura pada 2025 – pendapatan sebenar mereka tumbuh pada 2025 di tengah-tengah inflasi yang mereda dan pasaran kerja yang stabil.
Menurut Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025, pendapatan sebenar, selepas mengambil kira faktor inflasi, meningkat 4.3 peratus dari 2024 hingga 2025 bagi penduduk yang bekerja sepenuh masa dengan tahap gaji pertengahan (P50).
Bagi golongan dengan tahap gaji 20 peratus terendah (P20) pula, pendapatan sebenar mereka meningkat 3.8 peratus dalam tempoh yang sama.
Ini lebih tinggi berbanding pertumbuhan yang dilihat sepanjang sedekad lalu dari 2015 hingga 2025 – 2.9 peratus setiap tahun bagi P20, dan 2.1 peratus setiap tahun bagi P50.
• Belanjawan 2026: Apakah mungkin rancangan yang bakal dibentangkan?
Sesuatu yang dinanti-nantikan setiap tahun, Belanjawan Singapura disediakan setiap tahun kewangan dan meletakkan asas hala tuju ekonomi negara.
Lazimnya, Belanjawan akan menangani cabaran semasa seperti tekanan kos, dan terus membangunkan strategi dan rancangan yang diumumkan dalam Belanjawan sebelumnya untuk menjamin masa depan Singapura.
Kementerian Kewangan (MOF) pada Disember 2025 mengundang rakyat Singapura berkongsi pandangan mereka bagi Belanjawan akan datang yang akan dibentangkan pada Februari 2026.
Berdasarkan tema dan soalan bagi maklum balas dan saranan yang disenaraikan kementerian itu, rakyat boleh menjangkakan Belanjawan 2026 menangani isu-isu seperti cara menyokong perniagaan memanfaatkan teknologi baru seperti AI dan membina budaya keusahawanan.
Ini selain sokongan bagi pelajar dan pekerja mendapat pekerjaan baik di tengah-tengah ekonomi global tidak menentu dan perubahan teknologi, dan jaminan serta peluang bagi segenap lapisan rakyat.
• Pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada 2026?
Selepas mencatatkan pertumbuhan cemerlang selama dua tahun, ekonomi Singapura dijangka mengalami sedikit penurunan pada 2026 sedang dunia terus menghadapi cabaran seperti tarif Amerika, perpecahan geopolitik yang berterusan dan perubahan teknologi yang pesat.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam ramalan pertamanya bagi 2026 menjangkakan ekonomi berkembang perlahan antara 1 dengan 3 peratus.
Ini selepas mencatatkan pertumbuhan sekitar 4 peratus pada 2025 dan 4.4 peratus pada 2024.
Para penganalisis menjangkakan sektor elektronik – terutamanya semikonduktor, yang menerajui pertumbuhan pada 2025 – akan kekal kukuh berikutan ledakan dalam perbelanjaan AI global.
Bagaimanapun, sedang ekonomi dunia mula beralih daripada tarif Amerika, kebanyakan penganalisis percaya enjin pertumbuhan Singapura yang lain – eksport bukan elektronik – juga akan mula meningkat dengan lebih stabil
• Idea awal lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi
Lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang ditubuhkan untuk menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara akan memberi pengemaskinian kemajuan usaha mereka sekitar musim Belanjawan 2026 – yang lazimnya dibentangkan pada sekitar Februari – sebelum laporan penuh dikeluarkan.
Jawatankuasa tersebut – yang melaporkan diri pada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) – telah diumumkan pada Ogos 2025, dengan bidang tumpuan dalam daya saing sejagat; teknologi dan inovasi; keusahawanan; modal insan; dan mengendalikan kesan penyusunan semula.
Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada November, berkata lima jawatankuasa itu akan mula melaksanakan idea dan inisiatif terpilih lebih awal, sebelum laporan rasmi yang membentangkan saranan penuh mereka diterbitkan menjelang pertengahan 2026.
Ini akan dilakukan sekiranya idea dan inisiatif tersebut “adalah wajar” dan berpotensi memajukan ekonomi Singapura serta menjamin pekerjaan yang baik untuk pekerja tempatan.
• Majikan dijangka lebih waspada ambil pekerja dan naikkan gaji
Sedang ketidaktentuan ekonomi membentuk semula strategi tenaga pekerja, sentimen dalam kalangan perniagaan untuk mengambil pekerja dan menaikkan gaji dijangka perlahan pada 2026.
Tinjauan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) yang dikeluarkan pada Disember, misalnya, menunjukkan hampir tiga dalam lima, atau 58 peratus, majikan rancang ‘membekukan’ bilangan kakitangan pada 2026 – naik daripada 50 peratus dalam tinjauan 2024.
Bagi prospek gaji pula, sekitar 48 peratus majikan menyatakan mereka rancang menyederhanakan kenaikan gaji atau membekukan gaji pada tahun kewangan 2026.
Tinjauan Prospek Pekerjaan ManpowerGroup pula mendapati 46 peratus majikan rancang mengekalkan jumlah kakitangan dalam suku pertama 2026.
Dari segi gaji, sekitar 21 peratus majikan rancang memberikan kenaikan gaji kurang 3 peratus bagi 2025/2026 – meningkat daripada 18 peratus pada tahun sebelumnya.
Sama ada sentimen ini akan menjadi nyata akan perlu dipantau, terutamanya sedang golongan belia dan individu pertengahan kerjaya menghadapi kebimbangan serta persaingan dalam mencari pekerjaan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
• Usia persaraan dan pengambilan semula pekerjaan dinaikkan
Singapura bakal meningkatkan usia persaraan daripada 63 tahun kepada 64 tahun pada 1 Julai 2026.
Usia pengambilan semula pekerjaan juga akan meningkat, daripada 68 tahun kepada 69 tahun.
Ini bermakna syarikat mesti menawarkan pengambilan semula pekerjaan kepada kakitangan yang layak sehingga usia tersebut, walaupun dengan syarat yang diselaraskan jika perlu, atau menawarkan bantuan pekerjaan sebagai gantinya.
Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, kadar penduduk yang bekerja dan mereka yang aktif mencari pekerjaan terus merosot untuk empat tahun berturut-turut, menurut Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025.
Namun begitu, kadar penyertaan tenaga pekerja (LFPR) – merangkumi penduduk berusia 15 tahun dan ke atas yang bekerja dan yang mencari pekerjaan – merentas kebanyakan kumpulan usia kekal stabil atau lebih tinggi berbanding 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg