Tinjauan: Sentimen pengambilan pekerja S’pura meningkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Sentimen pengambilan pekerja S’pura meningkat

Tinjauan dijalankan dari 1-3 Feb sebelum perang di Timur Tengah
Mar 10, 2026 | 2:55 PM

Tinjauan: Sentimen pengambilan pekerja S’pura meningkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
sentimen pengambilan pekerja, pasaran kerja Singapura, tinjauan pengambilan pekerja
Peningkatan sentimen pengambilan pekerja bagi suku kedua mencerminkan usaha majikan menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang semakin berubah. - Foto fail

Sentimen pengambilan pekerja dalam kalangan majikan di Singapura meningkat bagi suku kedua 2026, setelah merosot selama dua suku berturut-turut.

Demikian menurut Tinjauan Prospek Pekerjaan oleh ManpowerGroup yang diterbitkan pada 10 Mac.

Bagi suku ini, beberapa majikan mencatat kenaikan dalam sentimen pengambilan pekerja, yang diukur menerusi metrik prospek pengambilan bersih pekerja.

Metrik itu mengukur perbezaan antara peratusan majikan yang merancang menambah pekerja dengan mereka yang merancang mengurangkan pekerja.

Data itu diperoleh hasil tinjauan melibatkan lebih 530 majikan di Singapura, yang dijalankan dari 1 Januari hingga 3 Februari sebelum tercetusnya perang terkini di Timur Tengah.

Prospek pengambilan bersih pekerja yang diselaraskan mengikut musim bagi suku kedua berada pada 24 peratus, meningkat 10 mata berbanding suku sebelumnya.

Namun, ia turun tiga mata berbanding tempoh sama pada 2025, ketika majikan menjangkakan perubahan pada bilangan pekerja sejajar dengan rancangan peluasan syarikat.

Sebanyak 45 peratus majikan melaporkan rancangan menambah bilangan pekerja antara April dengan Jun.

Sementara itu, 21 peratus majikan menjangkakan pengurangan bilangan pekerja dan 33 peratus merancang mengekalkan bilangan sedia ada, kata ManpowerGroup.

Pengurus Negara, ManpowerGroup Singapore, Cik Linda Teo, berkata peningkatan sentimen pengambilan pekerja bagi suku kedua mencerminkan usaha majikan menyesuaikan diri dengan keperluan perniagaan yang semakin berubah.

“Walaupun sebahagian besar rentak itu didorong oleh syarikat yang meluaskan operasi ke bidang baru, organisasi turut giat mencari kemahiran baru untuk mengekalkan kelebihan daya saing mereka,” kata Cik Teo.

Beliau menekankan bahawa pencarian kemahiran baru amat ketara dalam sektor maklumat.

“Perkembangan teknologi mewujudkan permintaan terhadap kepakaran baru dan menyokong hasrat pengambilan pekerja yang lebih kukuh apabila syarikat memperdalam tumpuan mereka terhadap transformasi berasaskan teknologi dan pembinaan keupayaan masa depan,” ujarnya.

Sentimen pengambilan pekerja paling tinggi direkod dalam sektor maklumat, yang mencatat prospek pengambilan bersih pekerja sebanyak 41 peratus, meningkat 18 mata berbanding suku sebelumnya dan 16 mata berbanding tempoh sama pada 2025.

Ia diikuti oleh sektor pembinaan dan hartanah, dengan prospek pengambilan bersih pekerja sebanyak 39 peratus, manakala sektor perkilangan mencatat 26 peratus.

Namun, sektor utiliti dan sumber asli mencatat prospek pengambilan bersih pekerja sebanyak negatif 11 peratus.

Walaupun terdapat peningkatan suku ke suku, sentimen pengambilan pekerja di Singapura masih lebih rendah berbanding purata sejagat, berdasarkan tinjauan ManpowerGroup yang turut melibatkan lebih 41,700 majikan di 42 negara.

Di peringkat sejagat, prospek pengambilan bersih pekerja bagi suku kedua berada pada 31 peratus, dengan 45 peratus majikan melaporkan rancangan menambah bilangan pekerja antara April dengan Jun, manakala 13 peratus menjangkakan pengurangan pekerja, kata ManpowerGroup.

Sentimen pengambilan pekerja paling tinggi direkod di India, yang mencatat prospek pengambilan bersih pekerja suku kedua tertinggi di peringkat sejagat, iaitu 68 peratus.

Ia diikuti Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebanyak 60 peratus dan Brazil 55 peratus.

Singapura mendahului dunia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi strategi tenaga kerja, namun manfaat teknologinya tidak seragam.

Lebih empat daripada lima majikan di Singapura (82 peratus) sudah mengaplikasi AI dalam proses pengambilan, penyesuaian tugas, atau latihan pekerja baru.

Peratusan itu mengatasi purata Asia-Pasifik dan Timur Tengah (81 peratus), malah melangkaui purata sejagat (67 peratus).

Walau bagaimanapun, meskipun AI diguna pakai secara meluas, hanya 4 peratus majikan mendapati penyelesaian AI semasa memenuhi jangkaan mereka.

Sebanyak 23 peratus mengatakan penyelesaian AI menunjukkan penilaian kemahiran insani yang kurang tepat, manakala 22 peratus pula berpendapat teknologi itu gagal mengajar kemahiran praktikal atau membuat pertimbangan yang jitu.

Selain itu, hampir satu per lima (18 peratus) majikan memilih untuk tidak menggunakan AI dalam proses pengambilan, penyesuaian tugas, atau latihan pekerja baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg