Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Simpanan Tetap pilihan pelaburan utama golongan muda, tua

Jun 9, 2024 | 5:30 AM
Dapatan hasil tinjauan Fullerton Fund Management mendapati simpanan tetap menjadi pilihan pelaburan utama yang boleh dipercayai di kalangan golongan muda dan tua di Singapura.
Dapatan hasil tinjauan Fullerton Fund Management mendapati simpanan tetap menjadi pilihan pelaburan utama yang boleh dipercayai di kalangan golongan muda dan tua di Singapura. - Foto fail

Kita hidup dalam zaman dengan pelbagai pilihan pelaburan yang sentiasa berkembang dan sering kali membingungkan, namun pilihan utama bagi kebanyakan orang muda dan tua kini ternyata adalah deposit tetap yang sederhana – membosankan tetapi boleh dipercayai.

Dapatan itu, yang dibuat menyusuli kenaikan kadar faedah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, adalah luar biasa kerana kira-kira 80 peratus pelabur dari semua peringkat umur, termasuk mereka dalam kumpulan umur 21-30 tahun, mempunyai akaun sedemikian.

Ramai pelabur muda pernah mengelak meletakkan sebarang wang dalam simpanan tetap, apatah lagi meletakkan akaun itu sebagai salah satu “pelaburan” pilihan mereka.

Walaupun responden juga memilih bon pemerintah dan akaun simpanan khas yang menawarkan kadar lebih tinggi pada $100,000 pertama, deposit tetap berkemungkinan menjadi produk yang dominan kerana semua orang tahu cara ia berfungsi dan memindahkan dana mereka ke dalam deposit sedemikian dalam talian.

Kemudahan membuat transaksi dalam talian juga menandakan perubahan dalam pelaburan saham, kata dapatan hasil tinjauan Fullerton Fund Management, melibatkan 500 pelabur yang mempunyai $40,000 hingga lebih $500,000 untuk melabur.

Sebagai contoh, pelbagai platform dagangan dalam talian nampaknya telah menarik ramai pelabur di sini untuk menceburi saham luar negara, terutamanya saham teknologi popular di Amerika Syarikat seperti Tesla, Nvidia dan Apple.

Saham sedemikian diketahui sangat tidak menentu perubahan harganya dan tinjauan itu menyerlahkan trend yang membimbangkan bahawa 60 peratus pelabur di sini tidak mempunyai portfolio pelaburan yang pelbagai dengan baik.

Ini bermakna sesetengah daripada mereka melabur dengan banyak dalam hanya satu saham dan dengan itu menghadapi risiko yang lebih tinggi jika nilai saham itu menjunam.

Harta dan CPF tidak cukup?

Adalah jelas daripada tinjauan itu bahawa ramai orang menyatakan bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada harta dan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) – dua kelas aset popular – untuk bersara.

Ini amat ketara dalam dua kumpulan umur: 31-40 tahun dan kumpulan 51-60 tahun.

Ada kemungkinan pelabur dalam kumpulan yang lebih muda menyedari harga kondominium yang melambung tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikannya lebih sukar untuk membeli atau menaik taraf kepada harta milik persendirian tanpa melupuskan sebahagian besar simpanan mereka.

Bagi kumpulan yang lebih tua, adalah perkara biasa bagi kebanyakan pemilik rumah untuk mendapat baki CPF yang lebih kecil kerana mereka telah menggunakannya untuk membayar pinjaman rumah mereka.

Pemilik ini harus tahu bahawa ciri paling penting CPF tidak bergantung pada baki dana mereka sahaja tetapi berapa banyak yang mereka sanggup simpan untuk CPF LIFE, apabila skim anuiti nasional bermula untuk mereka yang mencapai umur 55 tahun.

Malah, pada Februari 2024 – beberapa bulan selepas tinjauan ini dijalankan – CPF LIFE telah diberi rangsangan besar untuk membolehkan anggotanya mempunyai pilihan untuk menyimpan lebih banyak supaya mereka boleh menerima sehingga $3,300 sebulan bermula dari umur 65 tahun.

Ini boleh dicapai jika orang yang berumur 55 tahun pada 2025 atau lebih lama menjadikan sasaran mereka untuk menambah Akaun Persaraan mereka secara sekali gus atau secara berperingkat untuk mencapai jumlah persaraan baru yang dipertingkatkan sebanyak $426,000.

Memandangkan kebanyakan peserta dalam tinjauan Fullerton melihat kepentingan meraih pendapatan pasif berterusan dalam persaraan, idea untuk memiliki kira-kira $3,000 sebulan sememangnya berbaloi untuk dirancang.

Lagipun, dalam masa 10 tahun sahaja, anda akan menerima $360,000 dan $720,000 secara keseluruhannya menjelang umur 85 tahun, lapor The Straits Times.

Berikut ialah beberapa petua perancangan untuk dua kelas aset yang diserlahkan dalam tinjauan:

Deposit Tetap

Ramai yang berpendapatan tinggi berpuas hati untuk membiarkan pendapatan mereka terkumpul dalam akaun simpanan tanpa melakukan apa-apa dengannya.

Tetapi jika mereka tidak peduli untuk menyimpan lebihan tunai dalam simpanan tetap untuk memperoleh faedah yang lebih tinggi, mereka sebenarnya kehilangan wang tunai tambahan daripada bank yang boleh membiayai percutian mereka.

Walaupun deposit tetap membolehkan simpanan anda meningkat tanpa sebarang risiko, anda tidak boleh melihatnya sebagai pelan persaraan utama anda melainkan anda mempunyai banyak wang tunai untuk memulakannya.

Sebagai contoh, walaupun dengan kadar 3 peratus, anda memerlukan $1 juta hanya untuk memperoleh $30,000 setiap tahun, atau kira-kira $2,500 sebulan.

“Pendapatan” anda sebulan akan turun dengan ketara kepada $1,250 jika deposit tetap anda ialah $500,000 dan $250 jika ia adalah $100,000.

Selain itu, sukar untuk membuat rancangan jangka panjang kerana kadar faedah tidak pernah stabil dan sering berubah seiring dengan ekonomi global.

Apabila kadar faedah turun, mereka yang bergantung kepada deposit tetap untuk perbelanjaan mereka, perlu menggali jumlah pokok, yang meningkatkan risiko tidak mempunyai wang yang mencukupi apabila mereka lebih tua kelak.

Ekuiti dan dana pelaburan

“Jangan masukkan semua telur anda dalam satu bakul” adalah nasihat abadi untuk pelabur kerana banyak produk yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi sememangnya lebih berisiko.

Sebagai contoh, jika anda melabur dalam saham hanya satu syarikat, anda boleh tenggelam atau berenang, bergantung pada ‘nasib’.

Kebanyakan perancang kewangan tidak akan menasihati pelanggan mereka melakukan ini semata-mata kerana jika mereka tersilap memilih pelaburan, mereka akan tersepit jika saham syarikat itu digantung selama-lamanya kerana kegagalan perniagaan.

Walaupun anda hanya melabur dalam syarikat yang ada reputasi, anda harus mengambil kira matlamat anda.

Walaupun pelabur muda mampu mengambil strategi jangka panjang dan mengharungi turun naik perubahan harga, golongan pesara tidak boleh berbuat demikian.

Pelabur yang bersara menghadapi lebih banyak risiko kerana jika nilai saham turun dan mereka memerlukan wang untuk membayar bil, mereka mungkin terpaksa menjual dan menanggung kerugian.

Jadi sebelum mendaftar, semak sama ada dana membayar pulangan secara tetap atau jika anda akan mendapat wang tunai hanya apabila anda menamatkan perjanjian anda sepenuhnya atau sebahagiannya.

Tanya juga tentang kos pengurusan kerana produk yang mahal secara semula jadi bermakna pelaburan anda hanya menguntungkan jika pulangan jauh lebih tinggi.

Adalah lebih baik mendapatkan penjelasan segala-galanya daripada menyesal apabila anda dilanda kerugian kemudian hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg