Kadar faedah bagi Akaun Khas, MediSave dan Persaraan pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi tempoh dari 1 Julai hingga 30 September telah ditetapkan pada 4.08 peratus setahun.
Ini naik sedikit daripada 4.05 peratus bagi suku sebelumnya, dan menandakan kadar tersebut kembali kepada kadar faedah yang diumumkan pada suku pertama 2024.
Lembaga CPF dan HDB, dalam satu kenyataan bersama pada 29 Mei, menyatakan bahawa kadar faedah tersebut naik sedikit disebabkan peningkatan dalam hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS).
Kadar faedah bagi tiga akaun itu disandarkan pada hasil purata tersebut, dan ditambah 1 peratus.
Kadar faedah untuk simpanan Akaun Biasa (OA) kekal tidak berubah pada 2.5 peratus setahun bagi suku ketiga 2024.
Sejajar dengan itu, kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang disandarkan pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, akan kekal tidak berubah pada 2.6 peratus setahun bagi suku ketiga.
Pencarum CPF berusia bawah 55 tahun akan terus menikmati faedah tambahan 1 peratus bagi $60,000 pertama baki akaun gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 untuk OA.
Mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas akan terus meraih faedah tambahan 2 peratus bagi $30,000 pertama baki akaun gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 untuk OA, dan tambahan 1 peratus bagi $30,000 seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg