SIMPANAN deposit di bawah bank digital, Trust Bank telah mencecah $1 bilion pada awal Mei, dengan 500,000 pelanggan telah mendaftar.
“Kami ingin menjadi bank runcit keempat terbesar di Singapura (dari segi bilangan pelanggan) menjelang hujung tahun depan,” kata ketua pegawai eksekutif Trust, Encik Dwaipayan Sadhu.
Beliau menambah bahawa bank itu akan menyasarkan untuk balik modal menjelang 2025, kira-kira tiga tahun sejak penubuhannya pada September 2022.
Lebih daripada 70 peratus pelanggan Trust telah datang melalui rujukan. Pelanggannya mencatatkan 15 transaksi kad kredit setiap bulan. Baki kad telah meningkat 5.9 kali antara September 2022 dengan Mac 2023 kepada $120 juta, dengan 85 peratus kad diaktifkan.
Bank itu buat masa ini menawarkan kadar faedah asas 1.5 peratus untuk akaun depositnya sehingga $75,000.
Pelanggan boleh memperoleh 2 peratus faedah jika mereka membuat lima transaksi kad bulanan; kadar faedah mencapai sehingga 2.5 peratus untuk pelanggan yang juga ahli NTUC Union.
Trust bertujuan untuk terus mengembangkan pangkalan pelanggannya dengan meluaskan tawarannya. Ini termasuk produk insurans perjalanan yang baru dilancarkan dengan NTUC Income, yang boleh dibeli oleh pelanggan melalui aplikasi mudah alih bank itu.
Produk tersebut dilihat sebagai melengkapi tawaran yuran sifar bagi pertukaran wang asing Trust, dengan kadar pertukaran hampir sama dengan yang boleh didapati dalam talian.
Trust telah melancarkan kad tambahan digital sebelum ini, yang membolehkan pelanggan berkongsi kad secara digital, menetapkan had perbelanjaan dan menjejaki perbelanjaan. Terdapat juga rancangan untuk melancarkan produk pinjaman segera, yang dilancarkan oleh pesaing GXS Bank baru-baru ini.
Populariti bank digital di Singapura terbukti. Grab dan GXS yang disokong Singtel baru-baru ini mencapai had deposit awalnya sebanyak $50 juta, dengan pembekuan pendaftaran buat masa ini. Bank itu sedang berbincang dengan Penguasa Kewangan Singapura untuk bergerak ke fasa seterusnya.
Keputusan Trust untuk melancarkan kad tambahan digital dan insurans perjalanan lebih awal berbanding produk pinjaman telah didorong oleh keperluan pelanggan dan menetapkan laluan bagi meraih keuntungan, kata Encik Sadhu.
“Salah satu perkara yang pelanggan memberitahu kami ialah memiliki kad tambahan adalah sangat penting, bagi memperoleh kadar bonus yang lebih tinggi. Jadi kami mengutamakan usaha itu dalam membina apa yang penting kepada pelanggan kami,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg