NEW YORK: Tupperware Brands memfailkan permohonan muflis selepas setahun bergelut dengan kemerosotan jualan serta persaingan yang semakin meningkat.
Tupperware, yang didagangkan secara terbuka, memfailkan perlindungan muflis dengan menyenaraikan aset antara AS$500 juta ($648 juta) dengan AS$1 bilion, dan liabiliti antara AS$1 bilion dengan AS$10 bilion.
Syarikat itu, yang sangat popular dengan produk bekas plastik dan peralatan dapur selama beberapa dekad, telah memberi amaran mengenai keupayaannya untuk kekal dalam perniagaan sejak 2020.
Sehingga Jun 2024, ia telah merancang untuk menutup satu-satunya kilangnya di Amerika Syarikat dan memberhentikan hampir 150 pekerja.
Permohonan muflis syarikat di Delaware itu dilakukan berikutan rundingan selama berbulan-bulan antara Tupperware dengan pemiutangnya mengenai cara mengurus lebih AS$700 juta yang dipinjam syarikat tersebut.
Pemiutang bersetuju memberinya sedikit ruang dan masa untuk menyelesaikan hutang tersebut tetapi perniagaannya terus merosot.
Pada 1946, pengasas Tupperware, mendiang Earl Tupper, memperkenalkan produk plastiknya kepada orang ramai dan seterusnya mendapat hak paten bagi kedap udara fleksibel mereka.
Barangan jenama itu kemudiannya membanjiri rumah-rumah di Amerika, sebahagian besarnya melalui parti jualan bebas yang diadakan di rumah pinggir bandar. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg