Pekerja platform boleh menjangka mempunyai suara rasmi dalam gerakan pekerja Singapura, sekiranya perlembagaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dipinda untuk menerima Persatuan Pekerja Platform sebagai anggota sepenuhnya.
Undi mengenai pindaan yang dicadangkan itu akan diadakan pada 14 November, kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
“Dengan sokongan anda, kita akan mencipta sejarah sekali lagi di Persidangan Perwakilan Biasa (ODC) ini, dengan meminda Perlembagaan kita untuk menerima Persatuan Pekerja Platform sebagai anggota NTUC sepenuhnya.
“Saya berharap dapat memperoleh undi anda nanti,” kongsi beliau.
Encik Ng berkata demikian semasa ODC NTUC 2025 yang diadakan di D’Marquee, Downtown East, pada 13 November.
Persidangan tersebut, yang diadakan hingga 14 November, dihadiri oleh sekitar 1,400 orang yang terdiri daripada pemimpin kesatuan, pemimpin perkongsian tiga pihak, dan tetamu lain.
Persidangan dwitahunan itu berfungsi sebagai wadah bagi gerakan pekerja menilai kemajuan yang telah dicapai serta merangka strategi bagi tahun-tahun mendatang.
Usaha untuk meminda perlembagaan itu berlandaskan Akta Pekerja Platform yang telah berkuat kuasa pada Januari 2025.
Akta tersebut menyediakan perlindungan asas seperti caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pampasan kecederaan pekerjaan, dan hak untuk diwakili oleh persatuan.
Encik Ng turut berkongsi langkah yang diambil beberapa persatuan seperti Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA).
“Mereka telah bertindak pantas untuk mendapatkan pengiktirafan daripada pengendali platform utama, serta menetapkan amalan terbaik dan prinsip industri bagi pendapatan dan keselamatan yang adil, termasuk dalam skim insentif.
“Pada masa yang sama, rakan tiga pihak kami turun padang untuk mengekang amalan haram dan tidak adil yang menjejas mata pencarian pekerja kami,” ujar beliau.
Pemerintah merupakan salah satu daripada tiga anggota dalam rangka kerja tiga pihak Singapura, yang turut merangkumi gerakan pekerja dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Sementara itu, Encik Ng berkata NTUC merancang untuk memperluas program Rangkaian Mentor melalui NTUC LearningHub (NTUC LHUB) mulai awal 2026.
Rangkaian Mentor tersebut telah dilancarkan pada 10 Januari dan terdiri daripada mentor yang tersedia merentasi tiga program – Pementoran Eksekutif NTUC, Pementoran Wanita Menyokong Wanita, dan Pementoran Kerjaya Pekerja Muda NTUC.
Menurut beliau, ia telah berkembang daripada 1,100 kepada hampir 1,500 mentor dan telah membantu sekitar 1,000 karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) mendapatkan bimbingan kerjaya.
“Maklum balas yang saya dapat daripada hampir 1,000 PME ini adalah mereka menyukainya dan mendapati program bimbingan kerjaya ini berkesan.
“Jadi, ia jelas mereka menghargai pemudah cara ini dan menilai tinggi kepentingan bimbingan kerjaya.
“PME boleh menantikan program ini, dan saya berharap ramai daripada anda, bahkan semua, akan menggalakkan PME di sektor anda masing-masing supaya memanfaatkan peluang ini,” kongsi Encik Ng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg