Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 3,500 raih manfaat platform bimbingan kerjaya dipacu AI kendalian NTUC

Nov 12, 2025 | 6:00 PM
NTUC, AI, platform bimbingan kerjaya
Dalam satu kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 12 November, lebih 3,500 pengguna platform bimbingan kerjaya iaitu Pembimbing Kerjaya Kecerdasan Buatan (AICC) telah meraih manfaat daripada pemadanan pekerjaan dan kemahiran setakat Oktober. - Foto fail

Lebih 3,500 pengguna platform bimbingan kerjaya iaitu Pembimbing Kerjaya Kecerdasan Buatan (AICC) telah meraih manfaat daripada pemadanan pekerjaan dan kemahiran setakat Oktober.

Platform dalam talian itu, yang dilancarkan pada Julai oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menawarkan bimbingan kerjaya yang dipacu AI, kata NTUC dalam satu kenyataan pada 12 November.

Peranan wadah itu, tambah NTUC, adalah untuk memberi peluang pekerjaan, kursus peningkatan kemahiran dan sumber kerjaya yang disesuaikan demi membantu pekerja mengharungi era AI.

NTUC berkata melalui AICC, pengguna boleh menilai tahap kesediaan kerjaya, mengenal pasti jurang kemahiran dan meneroka laluan bagi meningkatkan kemahiran atau beralih kepada pekerjaan dengan permintaan tinggi.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata: “Masa depan pekerjaan di Singapura akan dibentuk melalui sebaik mana kita mempersiapkan pekerja kita – termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) – hari ini.

“NTUC komited untuk menerajui transformasi tenaga kerja menerusi kerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak, menyepadukan usaha kita dan memacu inovasi seperti AICC demi membangunkan Singapura celik AI yang menyokong kemahiran dan pekerjaan pekerja.”

Antara ciri-ciri utama AICC termasuk alat membina profil kerjaya, penciptaan resume atau kelayakan peribadi yang dikuasakan AI, simulasi sesi temuduga dan saranan yang disesuaikan.

Kenyataan NTUC itu dibuat sedang ia bersiap sedia bagi Persidangan Perwakilan Biasa NTUC 2025 di ruang D’Marquee, Downtown East pada 13 November.

Persidangan itu bakal menyaksikan kesatuan dan persatuan gabungan NTUC berhimpun untuk menilai kemajuan, menyelaraskan strategi dan merangka hala tuju gerakan pekerja.

“NTUC terus meluaskan jangkauannya dan memacu inovasi untuk menyokong pekerja dalam ekonomi yang dipacu AI.

“Sedang AI membentuk semula industri dan peranan pekerjaan, NTUC memandang ke hadapan untuk membangunkan inisiatif berani supaya gangguan AI dilihat sebagai peluang bagi pekerja,” kata NTUC.

Menurut NTUC, AICC dapat membantu pelbagai segmen pekerja – meliputi graduan baru, golongan yang ingin mendaki tangga kerjaya, serta mereka yang ingin menukar kerjaya mahupun bakat yang selari dengan peranan pekerjaan yang sedang dilakukan.

Sehubungan itu, gerakan pekerja itu menggesa agar pekerja di sini menerapkan tiga pola pemikiran utama.

Pertama adalah penggunaan alat AI untuk sentiasa meningkatkan ilmu pada bila-bila masa melalui pembelajaran kendiri untuk memacu pertumbuhan peribadi

Kedua adalah memanfaatkan AI bagi mengekalkan semangat ingin tahu, meneroka idea baru, sifat ingin bertanya dan pembelajaran sepanjang hayat demi membuka peluang baru dalam ekonomi yang dipacu AI.

Ketiga ditujukan kepada majikan, agar mereka menggunakan AI secara bertanggungjawab bagi membangunkan semula pekerjaan, meningkatkan kemahiran pekerja dan memastikan peralihan yang adil.

Peralihan ini termasuk usaha mempertingkatkan pekerja dengan kemahiran yang relevan dan ganjaran yang memadai sejajar dengan peningkatan produktiviti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg