Satu unit Changi Airport Group (CAG) telah menjalin usaha sama (JV) untuk menguruskan operasi komersial bukan aeronautik di Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan di Hainan, China.
Changi Airports International (CAI) bakal miliki 49 peratus kepentingan dalam JV itu, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Hainan Meilan akan memiliki 51 peratus.
JV itu akan mempunyai hak eksklusif untuk uruskan perkhidmatan runcit, makanan dan minuman, pengiklanan dan penerbangan bagi orang penting secara komersial di lapangan terbang tersebut selama 10 tahun, bermula dari Januari 2025, lapor The Business Times.
Pada 20 Oktober, CAI berkata kerjasama itu bertujuan mengubah Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan untuk menjadi hab pengguna bersepadu dan meningkatkan perbelanjaan pengguna bagi meningkatkan pendapatan komersial.
Ketua Eksekutif CAI, Encik Eugene Gan berkata:
“Dengan potensi ekonomi dan pelancongan China yang semakin meningkat, perkongsian ini juga menyokong matlamat Hainan untuk menjadi pusat pelancongan dan perdagangan global.”
Bidang tumpuan utama bagi usaha sama itu termasuk kembangkan kepelbagaian serta kualiti jenama tempatan dan antarabangsa, seperti memperkenalkan membeli-belah bebas cukai luar pesisir dan di tahap antarabangsa.
Ia juga akan mengadakan pilihan makanan yang memenuhi citarasa antarabangsa dan tempatan, serta sediakan kemudahan hiburan dan bersantai buat penumpang.
Terletak di ibu kota wilayah Hainan, China, Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan berfungsi sebagai pintu masuk bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
Sehingga Oktober 2024, lapangan terbang tersebut menghubungkan 116 destinasi domestik dan 30 lokasi antarabangsa.
Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 24.3 juta pada 2023, dengan menduduki tempat ke-18 dalam kalangan semua lapangan terbang di China.
Lapangan terbang itu menempatkan kedai bebas cukai luar pesisir dengan pengembara domestik boleh membeli barangan bebas cukai.
Kedai sedemikian merupakan komponen utama potensi pertumbuhan pendapatan bukan aeronautik.
Sedang bilangan penumpang antarabangsa di lapangan terbang itu susut kepada 480,000 pada 2023 daripada 1.4 juta pada 2019, CAI menekankan angka baru-baru ini sebagai satu “peluang untuk pertumbuhan seterusnya dalam segmen ini”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg