Unit Australia syarikat pengendali pengangkutan darat ComfortDelGro telah memperoleh kontrak untuk mengendalikan tiga francais bas bernilai sekitar A$1.6 bilion ($1.4 bilion) di Victoria, Australia.
Melalui anak syarikatnya CDC Victoria, ComfortDelGro Corporation Australia (CDG Australia) dianugerahkan kontrak dalam proses tender Francais Bas Pelepasan Sifar (ZEB) Metropolitan Jabatan Pengangkutan dan Perancangan Victoria.
Pada 4 September, CDG berkata kejayaan terbaru itu membentuk pertumbuhan sebanyak 30 peratus dalam perniagaan bas awamnya di Victoria, yang menyediakan perkhidmatan kepada 20 peratus rangkaian metropolitan Melbourne.
Ini akan menyaksikan CDG Australia memperoleh 86 bas tambahan, menjadikan jumlah dalam kumpulan basnya untuk kontrak metropolitan Melbourne mencapai 369, lapor The Business Times.
Kontrak tersebut adalah untuk tempoh 10 tahun dan akan bermula pada Julai 2025.
Secara kolektifnya, ia terdiri daripada 250 laluan bas awam dan sekolah yang disediakan oleh lebih 360 bas.
Bas dan depoh di bawah francais baru itu akan dibiayai sebagai sebahagian daripada kontrak tersebut. Kemudahan itu akan beralih kepada operasi penuh ZEB sebelum tamat tempoh kontrak.
CDG berkata pemindahan hak milik depoh bas sedia ada akan menimbulkan keuntungan jualan sekali sahaja.
Dengan mengandaikan kontrak-kontrak baru itu telah berkuat kuasa pada 31 Disember 2023, ini akan menjadikan nilai aset bersih sesaham kumpulan tersebut pada akhir 2023 mencapai $1.21, meningkat daripada $1.20.
Sekiranya ia berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, ini bermakna pendapatan sesaham untuk tahun kewangan 2023 8.99 sen, berbanding 8.33.
Pengerusi CDG, Encik Mark Greaves, berkata tender bas pelepasan sifar baru itu menggariskan komitmen kumpulan tersebut untuk beralih kepada penggunaan elektrik dan mengurangkan jejak alam sekitarnya.
Sehingga kini, kumpulan itu menguruskan lebih 2,800 bas awam dan koc merentasi enam negeri dan wilayah di Australia.
Ia juga mengendalikan rangkaian teksi terbesar di negara itu.
“Kami berbangga dapat menyokong pemerintah dalam membina sistem pengangkutan selamat, boleh dipercayai dan mampan bagi masyarakat tempat mereka berkhidmat,” kata Encik Greaves.
Saham CDG pada Selasa berakhir mendatar pada $1.41.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg