Topic followed successfully
Go to BHkuUnit DHL di S’pura sahkan pemberhentian pekerja
Unit DHL di S’pura sahkan pemberhentian pekerja
Namun syarikat dan kesatuan enggan beri butir lanjut bilangan dan jawatan pekerja terjejas
Unit DHL di S’pura sahkan pemberhentian pekerja
Sebuah unit DHL di Singapura telah memberhentikan pekerjanya, namun bilangan dan jawatan yang terjejas kekal kabur, memandangkan syarikat itu dan kesatuannya enggan mengulas lanjut.
Khabar angin mengenai pemberhentian pekerja di DHL Global Forwarding Singapore, telah muncul dalam talian sejak dua bulan lalu.
Pada 30 Mac, seorang pengguna laman Reddit memuat naik butiran mengenai langkah pemberhentian terbaru syarikat itu dalam sebuah forum yang membincangkan budaya tempat kerja.
Seorang jurucakap syarikat pengangkutan kargo itu, sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST) pada 31 Mac, mengesahkan langkah pemberhentian tersebut.
“Kami sedar wujud perbincangan dalam talian berkaitan pemberhentian pekerja di Singapura.
“Kami tetap komited untuk melayan semua pekerja dengan adil dan hormat, dengan mematuhi peraturan tempatan serta dasar dalaman kami sepenuhnya,” kata jurucakap itu melalui e-mel.
“Sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja yang kami buat adalah berpandukan keperluan perniagaan semasa dan berasaskan prestasi pekerja,” tambah jurucakap itu, sambil berkata syarikat itu tidak akan memberikan butiran lanjut.
Menurut rekod Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), DHL Global Forwarding Singapore, merupakan sebuah divisyen di bawah DHL Group yang menyediakan perkhidmatan rantaian pergerakan muatan antarabangsa.
Unit itu beroperasi di dua pejabat di Singapura – 1 Changi South Street dan 81 Alps Avenue.
Kesatuan Pekerja Buruh dan Perdagangan Singapura (SMMWU) pada 1 April mengesahkan DHL Global Forwarding Singapore adalah syarikat berkesatuan.
Seorang jurucakap SMMWU menambah bahawa kesatuan itu telah dimaklumkan mengenai langkah penyusunan semula syarikat itu yang merupakan “sebahagian daripada langkah pengaturan semula organisasi yang lebih besar demi kemampanan jangka panjang (syarikat)”.
Kesatuan itu kini bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut bagi memastikan pekerja yang terjejas mendapat layanan adil, dan menambah:
“Kesatuan turut bekerjasama dengan syarikat bagi memastikan pekerja yang terjejas akan menerima pakej pampasan yang adil, selaras dengan perjanjian bersama.”
Bagaimanapun, SMMWU enggan mendedahkan jumlah ahli yang terjejas.
Perjanjian bersama terbaru antara kesatuan dengan syarikat itu, yang diwartakan pada 19 Mac, menetapkan bahawa pekerja yang diberhentikan akan menerima notis sebulan atau gaji kasar sebulan.
Mereka yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun layak mendapat faedah pemberhentian – bersamaan sebulan gaji asas terakhir, bagi setiap tahun khidmat mereka.
Namun, faedah pemberhentian maksimum dihadkan kepada 25 bulan gaji asas terakhir, atau jumlah gaji yang belum diterima pekerja itu sehingga umur persaraan sekiranya tidak diberhentikan, mengikut mana yang lebih rendah.
Walaupun unit di Singapura itu memberhentikan pekerja, semakan ST pada 1 April mendapati ia masih menawarkan sekurang-kurangnya 10 jawatan berpangkalan di Singapura di laman Internetnya, dalam bidang seperti pembangunan perniagaan dan import kargo udara.
Laporan tahunan DHL Group 2025 menyatakan, firma logistik sejagat itu mempunyai sekitar 584,000 pekerja di lebih 220 negara dan wilayah.
Di bawah peraturan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedia ada, majikan dengan sekurang-kurangnya 10 pekerja mesti memaklumkan kementerian itu dalam tempoh lima hari selepas pemberhentian, tanpa mengira bilangan pekerja yang terjejas.

