Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Unit kondo kecil di S’pura lebih sukar dijual semula

Walau ia terus dapat permintaan baik
Sep 8, 2025 | 5:48 PM
kondo, kecil, Marina Bay Residences
Unit kondominium dengan pegangan bertempoh dan seluas 732 kaki persegi di Marina Bay Residences (tengah) terus berada di pasaran selama tiga tahun sebelum pemiliknya berjaya menjualnya. - Foto ST

Apabila seorang warga Perancis yang menetap di Singapura mengiklankan kondominium satu biliknya untuk dijual pada 2022, harga rumah privet sedang meningkat ketika itu, dan beliau menjangkakan jualan pantas.

Sebaliknya, unit kondominium dengan pegangan bertempoh dan seluas 732 kaki persegi di Marina Bay Residences itu terus berada di pasaran selama tiga tahun.

Tawaran yang diterima tidak menepati jangkaan beliau, dan pelabur berusia 51 tahun itu, yang enggan dinamakan, akhirnya menerima tawaran harga $1.6 juta pada Ogos 2025 – hanya lebih tinggi sedikit berbanding harga $1.55 juta yang dibayarnya pada 2016.

Pengalaman beliau menunjukkan cabaran lebih besar yang dihadapi sebilangan pemilik dalam menjual semula apartmen studio dan satu bilik, yang biasanya lebih kecil dan disasarkan kepada kumpulan pelanggan khusus.

Walaupun permintaan bagi unit lebih kecil sebegini terus stabil, data dan pengamatan pasaran menunjukkan harga unit sedemikian pada umumnya meningkat pada kadar lebih perlahan.

Ia mengambil masa lebih lama untuk dijual semula berbanding unit lebih besar, dan memberi keuntungan lebih rendah kepada pemiliknya.

Sekitar satu daripada empat urus niaga kondominium jualan semula antara 2019 dengan 2025 melibatkan unit studio atau satu bilik.

Demikian menurut data ERA Research and Market Intelligence dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Data tersebut merangkumi 146 projek kediaman privet tidak berhalaman, yang siap dibina sejak 2000, yang mencatatkan sejumlah 24,327 urus niaga jualan semula, lapor The Straits Times (ST).

Projek itu termasuk kondominium pegangan bebas dan pegangan bertempoh seperti Sophia Residence, One Amber, Marina Bay Residences, Reflections at Keppel Bay, Duo Residences, Martin Modern, JadeScape dan One Pearl Bank.

Bagi memastikan perbandingan bermakna, hanya projek dengan bilangan jualan ketara disertakan, iaitu yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 urus niaga di Kawasan Tengah Utama (CCR); 100 urus niaga di Baki Kawasan Tengah (RCR); dan Luar Kawasan Tengah (OCR), kata Ketua Penyelidikan dan Risikan Pasaran di ERA Singapore, Cik Wong Shanting.

Kajian tersebut mendapati unit satu bilik dan studio membentuk bahagian lebih besar daripada jumlah urus niaga jualan semula di CCR.

Ia naik daripada purata sekitar 30 peratus daripada jumlah jualan antara 2019 dengan 2022, kepada sekitar 35 peratus sejak 2023.

Bagaimanapun, OCR mencatat bilangan urus niaga tertinggi dari segi jumlah mutlak.

Dari Januari hingga Julai 2025, sebanyak 352 unit satu bilik dan studio dijual di OCR, berbanding 209 di RCR dan 70 di CCR.

Unit lebih kecil biasanya menarik minat golongan bujang yang melihatnya sebagai laluan memiliki rumah pada harga dimampui tanpa menanggung hutang besar, serta pelabur yang menyukainya kerana kadar sewanya yang agak menarik, kata Cik Wong.

Namun, beliau menarik perhatian bahawa unit lebih kecil mencatat pertumbuhan harga lebih perlahan dan kurang menguntungkan berbanding apartmen lebih besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg