Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar kenaikan harga rumah awam, privet perlahan suku pertama 2025

Petanda bahawa harga hartanah mula menyederhana
Apr 1, 2025 | 5:01 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengaitkan pertumbuhan harga yang lebih perlahan dalam pasaran hartanah awam dan privet dengan peningkatan bekalan perumahan di kedua-dua pasaran tersebut.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengaitkan pertumbuhan harga yang lebih perlahan dalam pasaran hartanah awam dan privet dengan peningkatan bekalan perumahan di kedua-dua pasaran tersebut. - Foto ZAOBAO

Pertumbuhan harga bagi perumahan awam dan privet perlahan pada suku pertama 2025, menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada 1 April, menjadi petanda bahawa harga hartanah mula menyederhana.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengaitkan pertumbuhan perlahan ini dengan peningkatan bekalan perumahan di pasaran awam dan privet, serta penurunan jumlah keseluruhan urus niaga kediaman privet. 

Menurut anggaran awal, Indeks Harga Flat Jualan Semula (RPI) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat sebanyak 1.5 peratus, satu penurunan berbanding 2.6 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2024 – pertumbuhan paling perlahan dalam lima suku terakhir, lapor The Straits Times (ST).

Ini disebabkan oleh bekalan berterusan Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) serta Jualan Baki Flat (SBF) terbesar yang pernah diadakan pada Februari, kata Encik Lee dalam satu hantaran di Facebook pada 1 April. 

Bagi perumahan privet, anggaran awal bagi indeks harga kediaman privet menunjukkan peningkatan lebih kecil sebanyak 0.6 peratus pada suku pertama, berbanding 2.3 peratus pada suku keempat, seiring dengan penyusutan momentum harga bagi hartanah bukan bertanah, atau non-landed, pada semua segmen pasaran.

Jumlah keseluruhan transaksi jualan juga menyusut sebanyak 15 peratus dari suku ke suku, tambahnya.

“Kami akan mengekalkan bekalan perumahan yang kukuh bagi memenuhi keperluan pembeli rumah dan terus menstabilkan pasaran hartanah.

“Kami akan melancarkan lebih 50,000 flat BTO dari 2025 hingga 2027, termasuk sekitar 12,000 flat dengan masa menunggu lebih pendek, iaitu sekitar dua tahun lebih. 

“Pada Februari 2025, kami mengadakan penjualan SBF terbesar dalam sejarah, dengan sekitar 5,500 flat ditawarkan,” kata Encik Lee.

Encik Lee menambah satu lagi penjualan SBF akan diadakan pada Julai 2025, dengan sekitar 3,000 flat ditawarkan.

Dengan jumlah bekalan SBF tahunan sekitar 8,500 flat, penjualan ini akan menjadi yang terbesar sejak 2017.

Namun, Encik Lee berkata bekalan pasaran jualan semula hartanah awam tidak dapat memenuhi permintaan kerana bilangan flat yang mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) adalah lebih sedikit sejak beberapa tahun kebelakangan ini – sebahagiannya disebabkan oleh pembinaan flat yang tergendala dek pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, bilangan flat baru yang mencapai MOP bakal meningkat dengan ketara, daripada 8,000 tahun ini (2025) kepada 13,500 tahun depan (2026). 

“Jumlah ini akan terus meningkat secara berperingkat kepada 19,500 flat menjelang 2028.

“Ini bermakna lebih banyak flat jualan semula akan memasuki pasaran tidak lama lagi dan bekalan akan mencukupi,” kata Encik Lee.

Mengenai pasaran perumahan privet, Encik Lee berkata bekalan keseluruhan perumahan privet telah meningkat secara berperingkat melalui program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS).

Bagi separuh pertama 2025, bekalan perumahan privet telah meningkat kepada sekitar 8,500 unit, dengan 5,000 unit akan ditawarkan di bawah senarai yang telah disahkan.

Ini hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding bekalan purata yang disahkan dari 2021 hingga 2023.

Encik Lee berkata pihak berkuasa akan terus mengekalkan bekalan flat dalam senarai yang telah disahkan pada separuh kedua 2025, termasuk menawarkan lebih banyak unit Kondominium Eksekutif (EC).

Hampir 1,000 unit EC akan dilancarkan di bawah senarai yang disahkan pada separuh pertama 2025, dan 1,000 lagi akan ditawarkan pada separuh kedua 2025.

“Ini menjadikan jumlah bekalan EC kepada 2,000 unit untuk keseluruhan 2025 – bekalan EC tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hampir dua kali ganda bekalan purata tahunan yang dilancarkan dari 2021 hingga 2023,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg