Pengendali pelabuhan milik Temasek, PSA International, melalui anak syarikatnya, PSA Baltics, menandatangani perjanjian untuk memperoleh 85 peratus kepentingan majoriti dalam firma pengangkutan kontena pelbagai mod (intermodal) Poland, Loconi International, lapor akhbar The Business Times (BT).
Kumpulan pelabuhan yang berpangkalan di Singapura itu mengumumkan dalam pemfailan bursa pada 10 Ogos bahawa ia akan memperoleh pegangan itu daripada penghantar pengangkutan awam Poland, ATC Cargo, tetapi transaksi itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
PSA International berkata langkah itu akan membolehkan kumpulan tersebut meningkatkan sambungan kawasan pedalaman sedia ada dari terminal kontena terbesar Poland, Baltic Hub, dan meluaskan jangkauan pelabuhan itu ke pasaran baru di Eropah Tengah dan Timur.
Pada Mac 2019, PSA International mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian dengan Dana Pembangunan Poland dan Dana Infrastruktur Global IFM untuk bersama-sama memperoleh 100 peratus daripada terminal laut dalam Baltic Hub, yang terletak di bandar pelabuhan Poland, Gdansk.
Terminal kereta api itu kini mengendalikan lebih 500 kereta api setiap bulan, kata kenyataan akhbar itu.
Loconi, yang ditubuhkan pada 2011, mengendalikan 220 kereta api setiap bulan, tambah pemfailan itu.
Encik Vincent Ng, ketua pegawai eksekutif serantau PSA Eropah dan Mediterranean dan PSA Timur Tengah Asia Selatan, berkata:
“Loconi akan memainkan peranan penting dalam strategi nod-ke-rangkaian kami dalam melangkaui perkhidmatan terminal dan mengembangkan peranan kami sebagai peserta aktif ekosistem pelabuhan, melalui pembangunan perkhidmatan sampingan pelabuhan, seperti penyambungan antara mod dan pendigitalan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg