Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung Old Chang Kee naik 57% kepada $9.7j

May 31, 2024 | 4:12 PM
Hasil daripada perniagaan runcit Old Chang Kee meningkat sebanyak $3.5 juta, atau 8.3 peratus, disebabkan hasil tambahan daripada cawangan baru dan peningkatan hasil daripada cawangan sedia ada.
Hasil daripada perniagaan runcit Old Chang Kee meningkat sebanyak $3.5 juta, atau 8.3 peratus, disebabkan hasil tambahan daripada cawangan baru dan peningkatan hasil daripada cawangan sedia ada. - Foto ZAOBAO

Keuntungan bersih syarikat epok-epok terkenal, Old Chang Kee mencatatkan kenaikan 50 peratus kepada $5.3 juta bagi separuh kedua tahun yang berakhir Mac, berbanding $3.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan untuk setengah tahun itu meningkat 10 peratus kepada $50.7 juta, daripada $46.1 juta tahun sebelumnya, didorong jualan runcit, penghantaran, katering dan bukan runcit yang lebih tinggi.

Pendapatan daripada kedai runcit Old Chang Kee meningkat sebanyak $3.5 juta, atau 8.3 peratus, didorong hasil tambahan daripada cawangan baru dan peningkatan hasil daripada cawangan sedia ada.

Ini telah diimbangi sebahagiannya oleh penurunan hasil daripada cawangan yang telah ditutup.

Sehingga 31 Mac, kumpulan itu mengendalikan 79 cawangan di Singapura.

Sementara itu, pendapatannya daripada perkhidmatan lain, seperti penghantaran, katering dan jualan bukan runcit, meningkat $1.1 juta, atau 24.4 peratus.

Ini disebabkan hasil penghantaran yang lebih tinggi, pesanan katering korporat dan jualan bukan runcit berikutan pengambilan berterusan dalam acara yang dianjurkan, semasa tempoh tinjauan.

Perbelanjaan penjualan dan pengedaran meningkat 12.8 peratus kepada $20.3 juta, berbanding $18 juta tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi, kos pengiklanan dan promosi, susut nilai aset hak guna dan perbelanjaan sewa.

Pendapatan sesaham naik kepada 4.36 sen untuk tempoh tersebut, berbanding 2.91 sen tahun lalu.

Sementara itu, bagi tahun sepenuhnya, keuntungan bersih meningkat 57.2 peratus kepada $9.7 juta.

Pendapatan pula meningkat 12.4 peratus kepada $101 juta.

Pendapatan sesaham berada pada 7.97 sen untuk tahun penuh, meningkat berbanding 5.07 sen tahun sebelumnya.

Dividen akhir sebanyak satu sen sesaham telah diisytiharkan, tidak berubah berbanding tahun lalu.

Old Chang Kee menyatakan bahawa tekanan inflasi kekal berterusan, terutama untuk kos bahan mentah dan buruh. Kos sewa juga kekal tinggi.

Ia menambah bahawa kekurangan tenaga kerja semasa, dalam sektor runcit kekal “mencabar”, manakala permintaan runcit “kelihatan lemah” dalam tempoh terdekat.

“Kumpulan itu akan meneruskan strategi semasanya, untuk mengharungi tempoh sukar inflasi yang berterusan ini,” katanya.

Ini termasuk usaha mengurangkan kos operasi, meningkatkan margin kasar, merasionalkan operasi kumpulan, untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja, dan mencari lebih banyak aliran hasil bukan runcit, seperti jualan perniagaan ke perniagaan.

Kumpulan itu akan terus mencari peluang untuk menambah bilangan cawangan di lokasi strategik, seperti hab pengangkutan trafik tinggi.

Ia juga akan meneroka kemungkinan untuk “gabungan perniagaan yang membawa sinergi”, serta mengembangkan kemudahan logistik dan pembuatannya.

Saham Old Chang Kee ditutup mendatar, pada 72.5 sen pada 30 Mei, sebelum keputusan diumumkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg