Singtel pada 23 Mei mencatatkan kemerosotan sebanyak 64 peratus dalam keuntungan bersih untuk setahun penuh disebabkan oleh caj penjejasan $3.1 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Sebahagian besar daripada kemerosotan nilai ini merupakan daripada anak syarikatnya, Optus, di Australia.
Singtel berkata keuntungan bersih bagi separuh kedua tahun kewangan (FY) 2024 hingga Mac ialah $795 juta, hasil daripada kerugian luar biasa sebanyak $1.47 bilion.
Ini berbanding $2.23 bilion yang diraih setahun lalu.
Menurut Singtel, ini disebabkan nilai bukan tunai yang terdiri daripada peruntukan pembayaran ‘muhibah’ oleh Optus sekitar $2 bilion dan sebanyak $483 juta untuk aset rangkaian capaian tetap perusahaan (enterprise fixed access network assets) syarikat telekomunikasi Australia itu.
Ini juga telah menyaksikan Singtel mengalami kerugian bersih sebanyak $1.3 bilion bagi fiskal separuh tahun kedua, berbanding keuntungan bersih $1.1 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pada 22 Mei, Optus mengumumkan pengawal selia media Australia sedang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung serangan siber 2022 yang menjejaskan lebih 10 juta pelanggan.
Ia juga mengalami gangguan besar-besaran di seluruh rangkaian pada November 2023.
Bagaimanapun, tidak termasuk caj penjejasan, keuntungan bersih setahun penuh Singtel meningkat 10 peratus kepada $2.26 bilion.
Ini mencerminkan peningkatan sumbangan syarikat bersekutu serantau dan pendapatan faedah yang lebih tinggi, kata Singtel.
Dalam pada itu, Singtel turut mengumumkan bahawa ia telah menambah dividen realisasi nilai atau value realisation dividend (VRD) baru sebanyak tiga sen hingga enam bagi setiap saham dalam masa setahun, di samping dividen teras, untuk meningkatkan pulangan pemegang saham dalam jangka sederhana.
Justeru, pengarah syarikat telekomunikasi itu telah mencadangkan dividen sebanyak 9.8 sen sesaham – terdiri daripada dividen teras sebanyak enam sen dan VRD sebanyak 3.8 sen.
Ini berbanding dengan dividen 5.3 sen bagi tempoh tahun lalu.
Ini menjadikan jumlah pembayaran dividen keseluruhan kepada 15 sen untuk fiskal 2024, peningkatan 52 peratus tahun ke tahun.
Singtel berkata ini adalah peningkatan ketiga dalam dividen sejak penetapan semula strategiknya tiga tahun lalu.
Ia menambah bahawa VRD akan meningkatkan hasil dividen syarikat telekomunikasi itu kepada 6.3 peratus pada harga penutup terakhir, meningkat daripada sekitar 4 peratus sebelum ini.
Mengulas mengenai prestasi Singtel, ketua pegawai eksekutif kumpulan, Encik Yuen Kuan Moon, berkata:
“Walaupun menghadapi persekitaran makro yang mencabar dan masalah mata wang yang ketara, prestasi asas kami mampu berdaya tahan.”
Menyedari bahawa harga saham Singtel tidak mencerminkan sepenuhnya nilai kumpulan Singtel, Encik Yuen berkata dengan meningkatkan jumlah pembayaran dividen, kumpulan itu akan “berkongsi ganjaran dengan pemegang saham”, sambil menunjukkan komitmennya untuk “mewujudkan nilai pemegang saham yang mampan”.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times mengenai pengawal selia Australia yang menyaman Optus atas pelanggaran data, Encik Yuen berkata caj sebanyak $3.1 bilion itu tidak berkaitan dengan tuntutan mahkamah.
Berkata demikian ketika taklimat keputusan kumpulan itu pada 23 Mei, beliau menjawab:
“Masih terlalu awal untuk mengira jumlah peruntukan yang perlu diketepikan oleh kumpulan ini.”
Ketua eksekutif sementara Optus, Encik Michael Venter, yang turut hadir pada taklimat itu, menambah bahawa tidak ada lagi saman lain, selain daripada saman oleh pengawal selia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg