Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung suku pertama Singtel naik 317% kepada $2.9b

Sebahagian besar hasil penjualan sebahagian pegangan saham Airtel, gabungan syarikat Intouch-Gulf Energy
Aug 13, 2025 | 4:32 PM
airtel, singtel
Keuntungan Singtel melonjak hasil keuntungan luar biasanya sekitar $2.2 bilion, yang antara lain disebabkan penjualan sebahagian pegangan sahamnya dalam syarikat telekomunikasi India, Airtel. - Foto fail

Syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel, mencatat keuntungan bersih sebanyak $2.9 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Jun 2025, meningkat 317.4 peratus berbanding $690 juta bagi suku pertama 2024.

Keuntungan yang melonjak itu dicapai hasil keuntungan luar biasa sekitar $2.2 bilion yang diraih Singtel, sebahagian besarnya daripada penjualan sebahagian pegangan saham dalam syarikat telekomunikasi India, Airtel, dan penggabungan syarikat Intouch-Gulf Energy, menurut syarikat itu pada 13 Ogos.

Dalam pada itu, keuntungan bersih asas Singtel bagi suku pertama 2025 meningkat 13.9 peratus kepada $686 juta, berbanding $603 juta bagi suku pertama 2024.

Keuntungan luar biasa tersebut termasuklah keuntungan bersih sekitar $1.5 bilion daripada penjualan 1.2 peratus kepentingan Singtel dalam syarikat bersekutu, Airtel, pada Mei.

Ia juga termasuk keuntungan bersih $746 juta daripada penggabungan bekas syarikat bersekutu Singtel, Intouch, dengan syarikat induk, Gulf Energy Development di Thailand, pada April.

Faktor lain yang menyumbang kepada prestasi suku pertama yang lebih baik itu termasuk pendapatan sebelum faedah dan cukai (Ebit) lebih tinggi daripada syarikat Optus (anak syarikat Singtel di Australia) dan NCS (cabang perkhidmatan teknologi Singtel), lapor The Business Times (BT).

Optus mencatat kenaikan Ebit sebanyak 36 peratus bagi suku pertama 2025 kepada A$133 juta ($111.4 juta) yang didorong oleh pendapatan yang meningkat dan pengurusan kos yang ketat.

NCS pula menikmati Ebit yang naik 22 peratus kepada $79 juta, hasil penyampaian perkhidmatan yang lebih menguntungkan.

Keuntungan lebih tinggi yang diraih daripada syarikat rakan usaha serantau Singtel, iaitu syarikat telekomunikasi Thailand, AIS, dan Airtel, turut menyumbang kepada prestasi lebih baik bagi suku pertama 2025 - dengan bahagian keuntungan selepas cukai Singtel daripada syarikat bersekutu serantau itu naik 15.4 peratus kepada $468 juta, berbanding $405 juta bagi suku pertama 2024.  

Bagaimanapun, keuntungan tersebut diimbangi oleh keuntungan bersih lebih rendah daripada syarikat bersekutu Singtel di Indonesia, Telkomsel, disebabkan prestasi lebih lemah dalam pasaran telefon bimbit, dan satu lagi rakan usahanya - syarikat telekomunikasi Filipina, Globe, yang turut terjejas oleh perbelanjaan pengguna yang berkurangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg