Pesuruhjaya Maklumat Australia (AIC) pada 8 Ogos telah memfailkan tindakan di mahkamah persekutuan negara itu terhadap Optus berhubung dakwaan pelanggaran yang dikaitkan dengan serangan siber terhadap anak syarikat Singtel pada 2022.
AIC mendakwa pelanggaran Akta Privasi Australia 1988 berkaitan dengan insiden pada September 2022, yang menyebabkan kebocoran data pengenalan peribadi kira-kira 2.1 juta pelanggan Optus, kata Optus dalam satu pemfailan di bursa, lapor The Business Times (BT)
“Entiti-entiti Optus akan meneliti dan mempertimbangkan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam prosiding ini dan akan memberikan respon terhadap tuntutan yang dibuat oleh AIC pada masa yang sesuai,” kata unit Singtel di Australia.
Optus, syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Australia, berkata ia tidak mengetahui jumlah penalti yang akan dikenakan, kerana ia akan ditentukan oleh mahkamah persekutuan.
Sekiranya pelanggaran didapati, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor dan “menetapkan jumlah penalti yang sesuai berdasarkan kejadian yang berlaku,” kata Optus.
Kumpulan itu juga menyatakan bahawa jumlah penalti “tidak semestinya dikira secara langsung berdasarkan jumlah pelanggaran.”
“Memandangkan perkara ini kini berada di mahkamah Australia, entiti-entiti Optus tidak akan memberikan komen lanjut buat masa ini.”
Saham Singtel turun sebanyak 0.7 peratus atau $0.03 pada harga $3.98 pada 8 Ogos, 9.05 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg